Akmal Saleh menang selesa di Jasin, Ketua UMNO Bahagian termuda penggal ini

Shuhada Abdul Kadir
Mac 18, 2023 22:15 MYT
Muhamad Akmal dijulang penyokong selepas diumumkan menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, Jasin, Melaka, malam tadi. - Foto Astro AWANI
JASIN: Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh melakar kejutan apabila berjaya memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pemilihan parti sesi 2023-2026.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berjaya meraih 340 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu penyandang Datuk Hassan Abdul Rahman, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Zaidi Attan dan Datuk Yusof Osman.
Kejayaan itu sekali gus mengangkat Muhamad Akmal, 35 tahun, sebagai Ketua UMNO Bahagian termuda pada pemilihan penggal ini.
Beliau ketika ditemui menyifatkan kemenangannya sebagai suatu gelombang baharu dalam akar umbi UMNO yang ‘dahaga’ untuk melihat momentum perubahan dibawa oleh golongan pemimpin muda
“Perubahan itu bermula daripada orang muda dan hari ini (jelas) ia boleh diterima di setiap lapisan masyarakat dan juga setiap lapisan generasi.
“Ini maksudnya, satu titik tolak permulaan. Kalau dulu, waktu Pilihan Raya Umum ke-15, kita ditolak orang muda dan jarang sekali orang muda diberikan satu amanah tanggungjawab yang besar memimpin bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman rasmi keputusan pemilihan UMNO Bahagian Jasin di Dewan Alamanda, di sini, malam tadi.
Turut melakar kejayaan di bahagian sama adalah ADUN Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar, juga dikenali sebagai Dira, apabila dipilih sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin selepas memperolehi 353 undi.
Muhamad Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri sebelum ini dipilih sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO selepas menewaskan tiga pencabarnya.
#Muhamad Akmal Saleh #Ketua UMNO Bahagian Jasin #Pemilihan UMNO #UMNO Bahagian Jasin