Akhirnya Tun Mahathir akui rela diri dipergunakan DAP - AzwanBro
Astro Awani
Mac 3, 2018 21:00 MYT
Mac 3, 2018 21:00 MYT
Pengakuan Tun Dr Mahathir Mohamad yang rela menjadi umpan bagi Pakatan Harapan (PH) meraih undi Melayu membuktikan kebenaran dirinya dipergunakan DAP.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, Pengerusi PH itu tidak boleh lagi menyembunyikan fakta kerana umum juga sedia tahu DAP adalah parti paling dominan di dalam gabungan pembangkang.
"Jadi DAP guna Dr Mahathir sebagai umpan untuk dapatkan undi Melayu. Saya yakin Dr Mahathir sendiri merelakan dirinya menjadi umpan untuk meraih sokongan Melayu.
"Ini semua dilakukannya demi perjuangan peribadi politik, apa sahaja yang dilakukannya kini membuktikannya terdesak dan menunjukkan seorang yang tidak berpegang kepada apa-apa prinsip," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Khairul Azwan mengulas ucapan Dr Mahathir di Kampung Baru pada Jumaat yang menyatakan kerelaan menjadi umpan bagi PH meraih undi Melayu.
Bekas perdana menteri itu berkata walaupun umurnya sudah menginjak 92 tahun namun rela berbuat untuk demikian untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Dr Mahathir turut menyatakan kesudian menjadi calon perdana menteri PH berdasarkan pengalamannya memerintah negara selama 22 tahun.
Dr Mahathir sebelum ini juga memberitahu, sudah mempunyai idea dan perancangan tentang apa yang perlu dilakukan jika berjaya membentuk kerajaan pada PRU14.
Sebelum ini, Khairul Azwan berkata, Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz lebih rela melihat PPBM terkubur asalkan mereka berdua menang pada PRU-14 akan datang.
Tegasnya, dua individu itu kini dalam keadaan terdesak untuk menang dan sanggup melakukan apa sahaja demi cita-cita politik masing-masing.