Akhirnya, DAP akur keputusan RoS
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 9, 2017 14:15 MYT
Oktober 9, 2017 14:15 MYT
DAP akhirnya akur dengan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) apabila parti itu akan mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada 12 November depan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pemilihan semula CEC yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam adalah hasil persetujuan antara parti itu dengan RoS.
"Kami juga telah melantik pihak ketiga, Grant Thornton yang merupakan sebuah firma antarabangsa untuk menjadi pihak ketiga dalam melakukan audit semasa pemilihan itu.
"Pihak kami juga akan mengeluarkan notis berdasar senarai perwakilan pada 2012, namun akan ditandakan khas pada nama yang telah meninggal dunia, keluar parti atau menyertai parti lain," katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini hari ini.
Selain itu, antara 10 syarat yang dikemukakan RoS kepada DAP termasuk meminta Grant Thorton memastikan supaya Notis Panggilan dikeluarkan dalam tempoh minima 14 hari sebelum pemilihan dijalankan.
Malah, Grant Thorton juga hendaklah memastikan notis di akhbar-akhbar yang dinyatakan disiarkan secara serentak dengan tarikh notis sebenar dikeluarkan kepada perwakilan.
Pada 17 Julai, DAP menerima surat daripada RoS yang mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC.
Arahan itu dikeluarkan berikutan RoS masih belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan oleh DAP pada 15 Dis 2012 dan pemilihan semula pada 29 September, 2013.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata pemilihan semula DAP itu akan diuruskan firma audit bebas, Grant Thornton yang akan bertindak sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan pemilihan firma antarabangsa itu telah dipersetujui RoS.
Katanya kesemua calon yang juga akan mengguna pakai senarai asal pada pemilihan 2012, selain senarai perwakilan yang akan terlibat pada sesi pemilihan semula itu nanti kini sedang diaudit syarikat berkenaan.
#CEC
#DAP
#Grant Thornton
#Jabatan Pendaftaaran Pertubuhan
#Jawatankuasa Tertinggi Pusat
#Lim Guan Eng
#Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam
#ros