Akaun TikTok Sanusi kembali boleh diakses

Sinar Harian
Julai 17, 2023 15:06 MYT
Akaun tersebut kembali aktif bermula Isnin setelah gagal diakses pada Sabtu lepas. - Gambar/ Sinar Harian
SHAH ALAM : Akaun TikTok rasmi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini kembali boleh diakses oleh semua pengguna aplikasi tersebut.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, akaun tersebut kembali aktif bermula Isnin setelah gagal diakses pada Sabtu lepas.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berang apabila akaun TikToknya disekat malah menyifatkan ia sebagai usaha menghalang kemaraannya berkempen secara maya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sehubungan itu, beliau mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial popular miliknya itu bagi memudahkannya mendekati rakyat, khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.
Beliau dalam satu hantaran di Facebooknya turut mendakwa, akaun TikToknya hanya tidak boleh diakses di dalam negara ini dan masih lagi boleh diakses di luar negara.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang arahan untuk menyekat akaun TikTok rasmi Muhammad Sanusi.
Selain itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan kerajaan telah bertindak menyekat akaun TikTok milik Muhammad Sanusi.
Dalam catatan di media sosial, Saifuddin berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk mengharamkan mana-mana akaun TikTok di negara ini kerana platform media sosial itu dimiliki oleh firma teknologi dari China, Bytedance Ltd. - Sinar Harian
#PRN #PRN Kedah #Muhammad Sanusi Md Nor #TikTok
;