Akar umbi Pakatan Harapan desak lantikan Senator wakili Kelantan
Vivi Sumanti
Mei 21, 2018 13:31 MYT
Mei 21, 2018 13:31 MYT
Akar umbi Pakatan Harapan Kelantan mendesak kerajaan Persekutuan agar tidak terlepas pandang negeri itu walaupun PH Kelantan tidak menyumbang sebarang kerusi samada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) ataupun Parlimen pada pilihanraya umum lalu.
Mereka mendesak supaya pelantikan disegerakan dengan mengusulkan nama Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa dan calon PKR di kerusi DUN Chempaka, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai Senator dan diberikan jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.
Selain itu mereka juga mengusulkan supaya Timbalan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Datuk Sazmi Miah dan juga Hisham Fauzi, selaku Ketua Undang-Undang PH Kelantan turut lantik Senator.
Pada masa ini jabatan kerajaan persekutuan di Kelantan di lihat hilang 'nahkoda' apabila perubahan kerajaan berlaku di peringkat pusat.
Pada masa sama rakyat Kelantan turut mengharapkan terdapat wakil PH dari Kelantan sebagai jambatan penghubung antara kerajaan pusat dan Kelantan.
Suara akar umbi PH Kelantan yang enggan mendedahkan nama menjelaskan, pada masa ini terdapat usaha melobi jawatan dan lantikan Senator dari pihak tertentu sedang dilakukan.
Menurut mereka, pada masa ini projek-projek pembangunan untuk kepentingan rakyat tidak diteruskan kerana perubahan kerajaan.
Tambah mereka, walaupun Kelantan kekal di bawah kerajaan pembangkang Pas, namun pembangunan yang dibawa oleh Barisan Nasional (BN) di Kelantan perlu diteruskan kerana ianya melibatkan kepentingan rakyat dan perjuangan ini perlu disuarakan oleh wakil dari PH Kelantan.