Akademi politik sepatutnya sudah lama diwujudkan

Rahimah Abdullah
April 11, 2021 05:09 MYT
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, akademi itu merupakan satu keperluan dalam memastikan setiap ahli politik memahami setiap asas dan dasar negara. - Gambar Fail
KUALA LUMPUR : Akademi politik yang memberikan latihan rasmi kepada wakil rakyat sepatutnya sudah lama diwujudkan.
Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, akademi itu merupakan satu keperluan dalam memastikan setiap ahli politik memahami setiap asas dan dasar negara.
"Pada awal lagi kita telah bincangkan perkara ini, perlunya kepada pendidikan sebegini kerana dulu ada timbul beberapa isu berkaitan asas-asas negara kita yang tidak difahami oleh ahli-ahli politik.
"Sebagai contoh, isu Jawi dahulu, beberapa isu-isu asas, dasar-dasar negara tidak difahami oleh ahli politik menyebabkan mereka bertikam lidah dengan perkara-perkara yang telah diasaskan secara kuat dahulu. Secara ringkasnya, keperluan ini memang sudah lama sepatutnya," katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.
BACA: Wujudkan akademi politik latih wakil rakyat - Rais Yatim
Ujarnya, penubuhan akademi politik ini perlu diperhalusi dan diperdebatkan sama ada ia boleh dilakukan untuk kursus jangka masa panjang atau pendek.
"Langkah ini supaya kita tidak perlu lagi menambah bebanan kerajaan. Mungkin ia juga sebagai subset, sebagai contoh di bawah Dewan Negara atau Dewan Rakyat.
"Kita juga mungkin boleh had upayakan NGO supaya kita tidak perlulah buka satu lagi institusi yang mungkin akan memakan duit rakyat," ujarnya.
Justeru katanya, MBM berpendapat ada keperluan pendidikan, asas, politik, kewarganegaraan kepada ahli politik.
#MBM #Belia #NGO #Astro Awani #Astro #akademi politik #rakyat #Malaysia #pendidikan #kerajaan #politik