AJK PAS cadang kerajaan 'Konsensus Nasional' ditubuhkan di Selangor

Astro Awani
Ogos 12, 2014 07:50 MYT
AJK PAS Pusat cadang kerajaan 'Konsensus Nasional' ditubuhkan di Selangor
Sebuah kerajaan 'Konsensus Nasional' perlu ditubuhkan untuk menamatkan kemelut politik yang melanda Selangor, kata Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.
Dr Mohd Zuhdi berkata, cadangan itu bersesuian dengan semangat 'Konsensus Nasional' yang diusulkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Katanya, jika langkah itu dilaksanakan, Barisan Nasional (BN) boleh diberi tanggungjawab bersama dalam pentadbiran negeri, khususnya sebagai kuasa semak dan imbang yang diiktiraf.
"Konsensus ini diperkukuh dengan pembentukan Majlis Pemuafakatan Selangor yang melibatkan parti daripada PR, BN dan Adun bebas.
"Dalam konteks ini Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dilantik sebagai pengerusi atau penasihat sebagai pengiktirafan kepada usaha Konsensus Nasional yang diusahakannya sebelum ini," kata Dr Mohd Zuhdi di laman Facebooknya.
Katanya, semangat 'Konsensus Nasional' perlu dihidupkan semula demi mengelak kemelut politik Selangor yang berpanjangan sehingga boleh menjejaskan rakyat Selangor dan Malaysia secara keseluruhannya.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) itu berkata, kemelut politik di Selangor sepatutnya tidak timbul jika pimpinan mengambil sikap mendahulukan kepentingan rakyat seperti penyelesaian krisis air, pembasmian salah guna kuasa, penurunan kos hidup rakyat, penyediaan rumah mampu milik, penambahbaikan infrastruktur, pengurangan kes jenayah dan pencegahan demam denggi.
"Malangnya terdapat segelintir pimpinan politik lebih suka berpolemik dan berpolitik demi mengutamakan kepentingan individu dan parti," katanya.
Dr Mohd Zuhdi berkata, kemelut politik ini menyebabkan sebahagian besar rakyat Selangor mulai bosan, malah semakin meluat dengan karenah pimpinan politik.
#DAP #MB Selangor #PAS #PKR