'Aiman ada masalah komunikasi, tapi dia ada potensi' - Muhyiddin

Firdaus Azil
Februari 21, 2019 18:09 MYT
Muhyiddin berkata, pengalaman Muhammad Aiman dalam politik akan bertambah dari semasa ke semasa, dan beliau percaya calon PH itu mampu menjadi wakil rakyat yang efektif pada masa akan datang. - Gambar fail
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin akui calon Pakatan Harapan untuk Dewan Undangan Negeri Semenyih, Muhammad Aiman Zainali mempunyai masalah komunikasi, terutamanya sewaktu turun berkempen.
Tetapi, jelasnya lagi, itu tidak bermaksud pihak lawan boleh memperlekehkan kemampuan dan potensi yang ada pada anak muda berusia 30 tahun itu untuk mewakili penduduk di kawasan ini.
Muhyiddin berkata, pengalaman Muhammad Aiman dalam politik akan bertambah dari semasa ke semasa, dan beliau percaya calon PH itu mampu menjadi wakil rakyat yang efektif pada masa akan datang.
“Saya akui (masalah komunikasi itu), tetapi sebagai anak muda baru, kalau masuk bertanding dia perlukan masa untuk sesuaikan dengan keadaan, kerana dia seorang yang bijak, berkelulusan, bertenaga, dan potensi untuk jadi wakil agak berkesan itu ada, bukan jangka sekarang tapi masa depan.
Tetapi jangan jadikan itu satu gambaran seolah-olah he is not capable, tak mampu buat kerja...dan sudah tentu kita akan perbaiki prestasi, persembahan dia dengan cara agak semula jadi,” katanya kepada sidang media di Bilik Gerakan Utama DUN Semenyih Pakatan Harapan, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Muhammad Aiman mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan pengundi di DUN Semenyih, terutamanya golongan pertengahan umur di kawasan ini.
Calon itu juga tidak dapat memberikan maklum balas yang sesuai sewaktu ditanya media mengenai gerak kerja dan kempen beliau.
Selain itu, Muhammad Aiman juga dilaporkan telah menolak jemputan badan bukan kerajaan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) untuk program debat bersama calon-calon lain yang bertanding kali ini.
Mengulas lanjut mengenai gerak kerja Pakatan Harapan, Muhyiddin berkata, setakat ini mereka sudah meliputi banyak kawasan, dan jentera sedang aktif melakukan penerangan mengenai kempen, serta kejayaan di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan.
Bagaimanapun beliau akui, bukan mudah memandangkan Kerajaan Pakatan Harapan hanya baru berfungsi selama sembilan bulan, dan banyak perkara perlu diperjelaskan, terutamanya mengenai manifesto pilihan raya dan sebagainya.
Muhyiddin berkata, rakyat diharap dapat memberi sedikit masa lagi untuk kerajaan persekutuan membuktikan keupayaan mereka, terutamanya dalam melaksanakan janji manifesto, serta usaha meringankan bebanan hidup yang ditanggung rakyat negara ini.
#anak #calon #GERAKAN #Malaysia Baharu #Muhammad Aiman Zainali #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PRK #rakyat
;