Ahmad Zahid yakin tiada ahli Parlimen BN alih sokongan

Sinar Harian
Julai 13, 2024 07:52 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kuala Nerus Kali Ke-36 hari ini. - Foto Bernama
KUALA NERUS: Dakwaan terdapat ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang beralih sokongan kepada pembangkang susulan keputusan Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan kedudukan enam bekas ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diyakini tidak akan berlaku.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan tiada keperluan ahli Parlimen BN untuk memberi sokongan terhadap pembangkang meskipun mereka mempunyai alasan politik tersendiri.
"Pelbagai tafsiran (dakwaan alih sokongan) namun saya yakin bahawa itu tidak akan berlaku.
"Mengapa perlu menyokong pihak pembangkang walaupun mereka ada alasan-alasan politik dan ini tidak akan berlaku.
"Insya-Allah... ianya tidak akan berlaku keadaan begitu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan dakwaan Ahli Jawatankuasa Pas, Tan Sri Annuar Musa pada 29 Jun lalu menyatakan bahawa 11 Ahli Parlimen BN diikuti wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan akan mengalih sokongan sekiranya Johari tidak mengosongkan enam kerusi wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah.
Pada Khamis lepas, Johari kekal kekal mempertahankan tindakannya Walaupun menerima kritikan dan tekanan daripada beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengenai keputusan tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas wakil rakyat Bersatu.
Menjelaskan hal itu di Dewan Rakyat, Johari berkata keputusan dikekalkan selepas melakukan 'siasatan' termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyatakan pihaknya turut meminta supaya ketua parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menyelesaikan masalah berhubung percanggahan ahli dengan keputusan dibuat oleh kerajaan.
"Saya minta ketua parti masing-masing selesaikan masalah itu jika ada di kalangan ahli-ahli Parlimen yang bercanggah pendirian dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan.
"Saya yakin masalah tersebut boleh disantuni. Perbezaan pandangan itu biasa tetapi apabila parti membuat keputusan ianya harus diikuti. Itu pendirian kita.
"Kalau berbeza pendapat biarlah ada saluran dan cara dalaman itu yang sebaik-baiknya," jelas beliau.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#Ahli Parlimen BN #Ahmad Zahid Hamidi #sokongan pembangkang #lompat parti #Kuala Nerus #Presiden UMNO