Ahmad Zahid tidak perlu letak jawatan - Puad

Sinar Harian
Ogos 14, 2023 11:40 MYT
Mohd Puad berkata, semua pihak perlu berhenti menunding jari sebaliknya perlu bersama bertanggungjawab memikul beban yang dihadapi parti. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Tindakan mendesak Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO tidak akan menyelesaikan isu terutama sokongan orang Melayu kepada UMNO.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, semua pihak perlu berhenti menunding jari sebaliknya perlu bersama bertanggungjawab memikul beban yang dihadapi parti.
"Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu menambah wakil UMNO dalam kabinet Kerajaan Perpaduan perlu serius mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu dengan menjayakan agenda Melayu.
"UMNO perlu dapat balik sokongan orang Melayu. Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.
"Sebab itu UMNO mesti kekal dalam Kerajaan Perpaduan. Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) perlu mengukuhkan kerjasama. Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah," ujarnya.
Keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri menyaksikan BN merekodkan kekalahan terburuk dalam sejarah apabila parti itu hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi.
Di Selangor, BN hanya memenangi empat kerusi, Negeri Sembilan (13), masing-masing satu kerusi di Pulau Pinang dan Kelantan manakala tiada kerusi dimenangi di Kedah dan Terengganu.
Dalam pada, Mohd Puad yang juga ADUN Rengit turut membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan.
“Muhyiddin angkuh bila suruh Ahmad Zahid letak jawatan. Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor, dia tidak letak jawatan.
"Dia kekal Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya. - Sinar Harian
#PRN #Zahid Hamidi #letak jawatan #Mohd Puad Zarkashi
;