Ahmad Zahid tidak mampu beri penaungan politik - Penganalisis

Hasimi Muhamad
Julai 7, 2021 20:24 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini dilihat tidak mempunyai keupayaan untuk memberikan penaungan politik atau tawaran kepada kem-kem di dalam parti Melayu itu, kata Mujibu Abd Muis. - Gambar Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini dilihat tidak mempunyai keupayaan untuk memberikan penaungan politik atau tawaran kepada kem-kem di dalam parti Melayu itu.
Sebaliknya, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan, situasi lebih berpihak kepada kumpulan yang berada dalam kerajaan termasuk untuk menarik sokongan ahli-ahli UMNO.
Jelas beliau lagi, mesyuarakat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada malam ini juga dijangka memperincikan hala tuju parti itu dan Perikatan Nasional (PN) selepas ini.
"Kem-kem tertentu ada yang melihat Ahmad Zahid tidak dihormati sebagai Presiden UMNO. Bagaimanapun, ia bukan tentang kredibilitinya tetapi persoalan pokok dalam hal ini adalah untuk melihat kemampuan presiden menawarkan atau (memberikan) penaungan politik yang sebelum ini boleh berlaku dalam UMNO.
"Kita bukan tidak pernah lihat krisis kepimpinan UMNO, bagaimana ketika zaman Datuk Seri Najib (Razak) memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal dan itu menimbulkan sedikit krisis.
"Tetapi apabila ini berlaku Najib (ketika itu) boleh menggunakan kuasa sebagai Perdana Menteri untuk meredakan tekanan yang barangkali cuba ditingkatkan oleh Perikatan Nasional (PN) dengan cuba memegang mereka yang tidak memiliki jawatan dalam parti tetapi diluaskan kuasa dan peluang untuk memberikan keistimewaan kuasa itu kepada penyokong-penyokong agar UMNO boleh kekal dalam PN.
"Barangkali itu bacaan yang digambarkan kepada kem-kem UMNO jika memilih Ahmad Zahid... inilah yang kamu dapat dan kalau memilih Ismail Sabri dan PN, ini yang kamu dapat. Jadi pilihan itu terpulang kepada ahli UMNO," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan.
Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri dan turut mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai Ismail Sabri.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera perlu segera memainkan peranan sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan PN dan menyelesaikan segera isu kesihatan berkaitan COVID-19.
Selain itu, beliau menambah, sekiranya Ismail Sabri dan Hishammuddin gagal memulihkan keadaan ketika ini, besar kemungkinan UMNO turut menerima tempias akibat kemarahan rakyat.
"Saya rasa barangkali pilihan Ismail Sabri ini tepat kerana beliau sudah menjawab (jawatan) sebagai Menteri Kanan dan terlibat dengan politik sudah lama dan figura yang kurang kontroversi di dalam UMNO.
"Atas pertimbangan itulah beliau diangkat sebgaai TPM. Saya rasa tiada masalah dengan sesiapa pun diangkat kerana jelas ketika ini persoalan utama ialah kerajaan PN sendiri bergelut dengan reputasi dan bukan tentang figura-figura mana kerana kita tahu betapa sentimen di luar sana agak marah dengan kerajaan," ujar beliau.
#Ismail Sabri Timbalan Perdana Menteri #Timbalan Perdana Menteri #Datuk Seri Hishammuddin #Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional #politik #UMNO #Ahmad Zahid Hamidi #PKP 3 O #MCO 3 0 #berita hari ini
;