Ahmad Zahid terbuka dua jawatan tertinggi UMNO dipertandingkan
Sinar Harian
Julai 14, 2024 19:15 MYT
Julai 14, 2024 19:15 MYT
MUAR: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terbuka sekiranya dua jawatan tertinggi dalam parti itu dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2026.
Ringkasan AI
- Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terbuka untuk membenarkan dua jawatan tertinggi dalam parti dipertandingkan pada Pemilihan UMNO 2026, tetapi menekankan pentingnya mengukuhkan parti terlebih dahulu.
- Keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO akan dipertandingkan akan dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Perhimpunan Agung UMNO, dengan mematuhi perlembagaan dan peraturan parti.
- Ahmad Zahid mengingatkan ahli UMNO untuk mendapatkan jawatan dalam parti dengan cara yang betul dan mengelakkan tindakan yang tidak etikal, serta menyebut bahawa beliau menjadi Presiden UMNO atas tanggungjawab yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Perdana Menteri itu menyerahkan kepada Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) dan Perhimpunan Agung UMNO akan datang untuk membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut.
Namun tegasnya, UMNO perlu mengukuhkan parti terlebih dahulu berbanding memikirkan soal pemilihan dan jawatan tertinggi parti.
"Saya amat terbuka dalam perkara ini. Namun apa yang lebih penting UMNO harus dipertahankan dan kekal relevan bukannya memikirkan soal pertandingan.
"Kita perlu lihat situasi sesuatu tahun atau tarikh yang akan ditentukan itu sudah tentunya seseorang calon itu tidak boleh membuat keputusan secara bersendirian, ia bergantung kepada dukungan para perwakilan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Muar di Dewan UMNO Bahagian Muar di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian UMNO, Datuk Ashari Md Sarip.
Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu lagi, pihaknya akan memastikan keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak, mematuhi perlembagaan dan peraturan parti.
"Apabila tiba masanya, pemilihan parti tetap akan berjalan. Mengikut perlembagaan UMNO, pemilihan parti perlu diadakan setiap tiga tahun. Cukup waktunya nanti pada tahun 2026.
"Namun di sana ada klausa bahawa pemilihan boleh ditangguhkan selama 18 bulan ertinya ia bergantung kepada keputusan yang akan dibuat dalam Majlis Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO," katanya.
Pada Sabtu, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tenggara meluluskan tiga usul secara sebulat suara termasuk menggesa jawatan presiden dan timbalan presiden parti dipertandingkan pada pemilihan akan datang.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid ketika berucap mengingatkan ahli UMNO sekiranya mahukan jawatan dalam parti perlu mendapatkannya dengan cara yang betul.
"Diam tak diam saya sudah tujuh tahun sebagai Presiden UMNO itu pun kerana diberikan tanggungjawab oleh "bossku" (Datuk Seri Najib Razak). Jawatan hakiki ketika itu cuma Naib Presiden UMNO tetapi diberi tanggungjawan Presiden UMNO.
"Saya dah rasa semua jawatan, jangan naik pijak orang, kalau naik pijak orang, tunggulah masa orang pijak kita pula," ujarnya. - Sinar Harian