Ahmad Zahid sokong cadangan UMNO diberi kerusi di Parlimen Kota Raja

Bernama
Ogos 4, 2024 13:30 MYT
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Raja, hari ini. - Foto BERNAMA
KLANG: Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong cadangan supaya parti berkenaan diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi di Bahagian Kota Raja dalam mendepani pilihan raya pada masa akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata cadangan diutarakan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu sesuai dengan realiti politik semasa yang dibina atas dasar kefahaman antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
"Namun, kita berazam dengan persefahaman yang disebut, kita harap Kota Raja ini rakan-rakan (Kerajaan Perpaduan) akan melihat kebersamaan bahawa takkanlah daripada empat (kerusi) satu pun tak boleh nak beri," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Raja di sini hari ini.
Terdahulu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam ucapannya menyatakan hasrat supaya UMNO diberikan satu daripada empat kerusi di Bahagian Kota Raja yang kini disandang oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
Empat kerusi berkenaan ialah satu di Parlimen Kota Raja dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning.
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berkata pertumbuhan ekonomi yang dibawa oleh UMNO dalam mentadbir negara sebelum ini juga tidak lagi mampu memberikan keyakinan politik kepada rakyat.
Beliau berkata perkara itu boleh dilihat menerusi sejarah lampau UMNO dengan parti terbabit kehilangan dominasi untuk mentadbir Selangor dan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-12 berikutan kegagalan melihat perubahan yang berlaku dalam kalangan rakyat.
"Bukan hanya di Selangor, tetapi di seluruh negara. Kita sedang mendakapi realiti politik baharu, ini suatu situasi yang harus kita hadapi. Untuk kita lihat, sejarah silam jangan harus kita padamkan.
"Walaupun suatu ketika Selangor menjadi simpanan tetap politik kita, namun situasi itu berubah dan ia berlaku bukan secara organik, sebaliknya sangat berstruktur," katanya.
Justeru, Ahmad Zahid mengingatkan supaya ahli pada peringkat akar umbi untuk tidak berasa bahawa parti itu dominan seperti dahulu dengan pelantikan tujuh menteri Kabinet daripada UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.
"DAP yang mempunyai (menang) kerusi lebih daripada kita, mereka hanya mempunyai lima menteri penuh. Janganlah kita yang berada di akar umbi ini (menganggap) bahawa tujuh ini seolah-olah kita dominan seperti dahulu.
"Realiti politik baharu ini, kita mesti mengukur baju di badan sendiri," katanya dan menambah beliau berpuas hati dengan prestasi ketujuh-tujuh menteri berkenaan.
-- BERNAMA
#UMNO #kerusi #Kota Raja #Ahmad Zahid Hamidi #pilihan raya