Ahmad Zahid lancar Manifesto BN negeri Melaka

Bernama
April 13, 2018 23:13 MYT
Bendera Barisan Nasional berkibaran di Dataran Keris Alor Gajah pada pelancaran Manifesto BN Melaka yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi. --fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam ini melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) negeri Melaka yang mempunyai 62 inisiatif demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Timbalan Pengerusi BN itu turut mengumumkan tiga inisiatif tambahan iaitu sambungan lebuh raya persisir Kuala Linggi-Masjid Tanah-Klebang-Teluk Mas hingga ke Banting, Selangor; 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam lima tahun dan litar motosikal untuk anak muda.
"Saudara saudari apabila tiga inisiatif tambahan ini saya cadangkan atas kapasiti TPM (Timbalan Perdana Menteri) maka bantulah kerajaan di bawah panji BN menang besar di Melaka.
"Manifesto ini bukan janji atas kertas, tapi janji dikota ," katanya ketika berucap melancarkan manifesto negeri bertemakan 'Bersama Mencipta Kegemilangan' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Dataran Keris, di sini, malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron juga Pengerusi BN Negeri dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO serta lebih 10,000 hadirin.
Ahmad Zahid berkata lebuh raya pesisir Kuala Linggi-Masjid Tanah-Klebang-Teluk Mas yang disambung hingga ke Banting, Selangor itu bukan sahaja memberi kemudahan pengangkutan terbaik kepada rakyat tetapi mampu berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan kawasan sekitarnya.
Di samping itu, katanya, ia dapat menawarkan laluan alternatif yang boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas serta pembangunan industri yang dapat menarik pelabur asing.
Beliau berkata kemajuan yang dicapai itu bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan di mana inisiatif 50,000 peluang pekerjaan baharu dapat direalisasikan dengan pantas.
Katanya, kerajaan sentiasa komited dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda dan akan berusaha menambah lebih ramai pekerja mahir dalam kalangan anak tempatan.
Sementara itu, Idris berkata kerajaan negeri telah berjaya memenuhi keseluruhan aku janji yang dibuat pada PRU13 berdasarkan pencapaian negeri maju, keseimbangan pembangunan bandar serta luar bandar dan kelestarian alam sekitar.
Beliau berkata manifesto PRU14 itu pula menampilkan lima tumpuan khusus iaitu kepada belia, wanita, orang kelainan upaya, warga emas dan masyarakat orang asli.
"Aku janji kita dalam Manifesto BN Negeri Melaka dengan 62 inisiatif bermula dengan memberi keutamaan kepada semua golongan rakyat," katanya.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #BN #MalaysiaMemilih #Manifesto #Melaka #PRU14