'Ahmad Zahid kena berani nyatakan surat itu palsu' - Pemuda PKR
Astro Awani
Oktober 18, 2020 12:30 MYT
Oktober 18, 2020 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mempunyai keberanian untuk menafikan sendiri surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang tular sejak Sabtu itu benar-benar palsu.
Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman menegaskan, jika tidak, lama-kelamaan masyarakat akan tahu juga dari mana datangnya sokongan kepada ketua pembangkang itu.
"Pada saya sama ada palsu atau tidak, Presiden UMNO perlu mempunyai keberanian untuk menyatakannya. Kalau katakanlah sokongan surat itu benar dan dikatakan palsu, akhirnya orang akan tahu juga sokongan itu sebenarnya wujud oleh Presiden UMNO.
"Tetapi jika sebaliknya dalam keadaan sekarang, Ahmad Zahid perlu berani menyatakan kebenaran, dalam keadaan UMNO sendiri sedang kucar-kacir.
"Kalau katakan kebenarannya adalah perlu tarik sokongan kepada Perikatan Nasional (PN) dan memberikan sokongan kepada orang lain, Presiden UMNO sendiri perlu berani menyatakan kebenaran itu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, surat berkenaan palsu dan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan untuk merosakkan imej Presiden UMNO.
Dalam pada itu kata Syed Badli, orang lain selain Ahmad Zahid tidak boleh dengan mudah menafikan surat itu.
"Beliau tidak boleh main 'petik-petik' dengan menafikan itu, menafikan ini kerana akhirnya nanti orang akan tahu juga apakah kebenaran atau kedudukan UMNO pada hari ini.
"Maksud saya lebih menjurus kepada sokongan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Majoriti yang ada pada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebenarnya sudah hilang.
"Sudah ramai Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Muhyiddin menarik sokongan, tetapi tidak menyatakannya secara jelas. Begitu juga dengan Presiden UMNO, dia sendiri kena berani menyatakan kedudukan mereka hari ini," dakwanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menggesa Ahli Parlimen UMNO supaya menyatakan pendirian mereka susulan surat mendakwa Presiden parti itu memberi sokongan kepada Anwar sebagai calon Perdana Menteri baharu, tular di laman sosial.
Khairy dalam kemas kini di Instagram Story berkata, jika surat tersebut benar, Ahmad Zahid langsung tidak memaklumkan kepada beliau berhubung perkara itu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam surat berkenaan berkata, sokongan tersebut turut didukung Ahli-ahli Parlimen UMNO.
Selain nama dan tandatangan Ahmad Zahid sebagai pengutus, surat tersebut turut dilihat mempunyai tandatangan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai saksi akuan berkenaan.