Ahmad Said segak ke PAU2020 berbaju Melayu merah jambu
Ridauddin Daud
Mac 27, 2021 18:46 MYT
Mac 27, 2021 18:46 MYT
KUALA LUMPUR : Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU2020) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini dipenuhi warna merah dan putih.
Lelaki, kelihatan segak memakai Baju Melayu berwarna merah dan putih, wanita pula anggun berbaju kurung dan kebaya, sama juga warnanya, merah dan putih.
Menelusuri ruang demi ruang di WTCKL, begitulah tema warnanya, tidak banyak bezanya.
Namun, kelibat seorang lelaki memakai Baju Melayu merah jambu pantas mencuri tumpuan Astro AWANI apatah lagi gaya jalan dan wajahnya sangat dikenali.
Dari kejauhan, kelihatan kerap kali beliau disapa dan menganggukkan kepala sambil melontarkan senyuman - popular sungguh gayanya.
Sebaik lalu di hadapan penulis, pantas tangan menahan beliau untuk ditemu bual dan tidak keberatan langsung, beliau bersetuju.
Ternyata, telahan penulis tepat.
Beliau ialah Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Selepas bertanyakan soalan-soalan ‘panas’ kepada beliau, penulis kemudian bertanya mengenai pakaiannya memandangkan pilihan warna kali ini sungguh berbeza dan menyerlah berbanding perwakilan lain.
“Saja hari ini pakai warna ‘pink’, tiada apa pun. Saya ada banyak baju, kebetulan hari ini pilih warna merah jambu, itu saja,” katanya kepada Astro AWANI.
Ketika ditanya kemeriahan PAU2020 yang tidak seperti tahun sebelumnya, bekas Menteri Besar Terengganu itu berkata, UMNO sememangnya mengikut peraturan ditetapkan kerajaan.
“Memang semua nak datang sini tapi disebabkan kita mengikut peraturan, ini sajalah yang dapat hadir,” ujarnya.
#Ahmad Said
#UMNO
#Menteri Besar
#terengganu
#Kuala Lumpur
#WTC
#PAU2020
#perhimpunan
#menteri
#lelaki
#baju melayu
#pemuda
#Puteri UMNO