Ahmad Said dilantik Pengarah Jentera BN PRK Kemaman

Ridauddin Daud
Oktober 20, 2023 23:46 MYT
Ahmad Said dilantik sebagai Pengarah Jentera BN bagi PRK Kemaman. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat malam.
Ketika ditanya calon UMNO bagi PRK tersebut, Asyraf Wajdi menegaskan mesyuarat hanya melantik jawatan Pengarah Jentera BN, bukan memilih calon.
"Soal calon belum lagi. Hari ini kita bincang dan lantik pengarah jentera sahaja. Calon akan diumumkan kemudian.
"(Ada cadang muka baharu) Tidak dibincangkan," katanya pada sidang media di Menara Dato' Onn selepas mesyuarat pada Jumaat.
Ketika diminta mengulas khabar angin Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek kembali ke kerusi tersebut, beliau menegaskan perkara itu juga tidak dibincangkan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata mesyuarat juga bersetuju melantik Datuk Seri Johari Abdul Ghani untuk menganjurkan Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera dan menggembleng kepimpinan UMNO semua peringkat di seluruh negara.
"Segala dapatan, maklum balas dan sumbang saran yang diperolehi melalui kolokium ini akan diangkat kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan kelak," ujarnya.
Tambahnya, UMNO menyanjung tinggi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan dalam menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera pada Januari 2024.
Sementara itu, dalam satu kenyataan, Asyraf Wajdi berkata, UMNO akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin dan dana terkumpul akan dihantar terus ke Gaza.
Menurutnya, kutipan derma itu akan diuruskan oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya lagi, UMNO turut menyelar sikap hipokrasi negara-negara yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia dan kedaulatan rakyat untuk pertahankan tanah air sendiri seperti di Ukraine namun menghalalkan segala yang berlaku di Palestin.
#hipokrasi #Kedaulatan Rakyat #tanah air #pengarah jentera
;