Ahmad Razif akan terus berkhidmat sebagai MB Terengganu - PM Najib

Mariah Ahmad
Mei 1, 2016 12:59 MYT
Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahmad akan terus berkhidmat seperti biasa kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Ahmad Razif Abd Rahman kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan akan terus berkhidmat seperti biasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata setelah mengadakan pertemuan dengan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin semalam, kata sepakat telah dicapai agar Ahmad Razif kekal sebagai menteri besar.
"Semalam saya menghadap Sultan Mizan berhubung isu kedudukan menteri besar Terengganu, dan hasil kesimpulan pertemuan ini, kami mencapai kata sepakat untuk meneruskan Ahmad Raziff sebagai menteri besar.
"Saya harap selepas ini tiada lagi timbul sebarang persoalan dan andaian mengenai kedudukan beliau," kata Najib.
Jelasnya, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan pentadbiran dan pembangunan berjalan lancar di Terengganu.
Bagaimanpun Najib tidak mengulas lanjut mengenai pertemuan beliau dengan Sultan Mizan.
BACA: Kemelut MB Terengganu: 'Wallahualam, itu kena tanya PM' - Ahmad Razif
BACA: Mesyuarat Exco Terengganu berjalan seperti biasa dipengerusikan Ahmad Razif
Najib berkata demikian dalam satu sidang media selepas menghadiri Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2016 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Sultan Mizan melucutkan semua darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada Ahmad Razif berkuatkuasa 22 April lalu.
Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.
Ketika ditanya mengenai penarikan semula darjah kebesaran Istana Terengganu oleh Sultan Mizan yang sebelum ini memberikan gelaran rasmi Datuk Seri kepada Ahmad Razif, Najib berkata beliau tidak akan masuk campur dalam hal berkenaan kerana urusan darjah kebesaran tersebut adalah urusan istana.
Ahmad Razif merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir dan mula memegang jawatan Menteri Besar pada 12 Mei 2014.
#Ahmad Razif Abd Rahman #MB Terengganu #Najib Razak #terus berkhidmat
;