'Ahmad Maslan minta pengundi UMNO sokong DAP? Bagi saya logik' - Anthony Loke

Umavathi Ramayah
Mei 22, 2023 13:10 MYT
Anthony Loke berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia adalah gambaran kepada pengukuhan kerjasama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan. - Gambar/ Astro ASWANI
KUALA LUMPUR: Saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya pengundi UMNO memberi sokongan kepada calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri disifatkan sebagai munasabah dan logik.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu tidak seharusnya dijadikan isu kerana ia adalah gambaran kepada pengukuhan kerjasama dalam gabungan Kerajaan Perpaduan.
"Itu adalah satu kenyataan logik. Apabila kita kerjasama sudah tentu rakan-rakan komponen dalam satu-satu gabungan akan menyokong satu sama lain.
"Sama juga pemimpin DAP semasa kempen PRN nanti juga akan meminta ahlinya undi calon UMNO khususnya.
"Jadi bagi saya itu satu kenyataan bagi saya logik, sudah tentu bila kita kerjasama dalam satu gabungan, kita mesti sokong antara satu sama lain kerana kita tidak bertanding menentang sesama sendiri.
"Kita kan berkempen untuk membantu satu sama lain, sudah tentu kita berterima kasih kepada Datuk Ahmad Maslan kerana membantu kita," katanya pada sidamg media di lobi Parlimen di sini, pada Isnin.
Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berpendapat, mesej yang disampaikan Ahmad itu bukan sahaja kepada DAP sebaliknya kepada semua penyokong Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, meminta pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN memilih calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan kedudukan kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, tindakan itu wajar mengikut disiplin parti apabila berada dalam Kerajaan Perpaduan.
#Ahmad Maslan #UMNO #DAP #Anthony Loke
;