Ahmad Maslan calon blok kerajaan untuk Timbalan Speaker Dewan Rakyat - Nazri Aziz
Irwan Muhammad Zain
September 8, 2021 17:14 MYT
September 8, 2021 17:14 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan merupakan satu-satunya calon dari blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat baharu.
Menurut Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, nama Ahmad dicalonkan bagi menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.
"Ahmad Maslan satu-satunya calon dari blok kerajaan dan kita tidak akan akan memberi ruang kepada calon dari pembangkang untuk mengisi jawatan tersebut.
"Ada ura-ura pembangkang cuba mencalonkan Nga Kor Ming, namun kita berasakan jawatan Timbalan Speaker tetap perlu dari blok kerajaan.
"Pembangkang ini cakap saja pandai, perlu ada keseimbangan lah, keadilan lah tetapi masa Pakatan Harapan jadi kerajaan, mereka pun tak lantik timbalan speaker dari pembangkang," katanya kepada Astro AWANI.
Mengulas lanjut, Nazri menjelaskan tidak timbul isu Ahmad akan memberi implikasi buruk kepada kerajaan kerana belum disabitkan dengan sebarang kesalahan.
"Beliau belum didapati bersalah, baru nak mula perbicaraan. Pada saya selagi belum dijatuhkan hukuman dan masih Ahli Parlimen, Ahmad boleh dilantik sebagai Timbalan Speaker," katanya lagi.
Mengulas desakan agar khidmat Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ditamatkan, Nazri menegaskan perkara itu tidak timbul.