Ahmad Maslan berharap UMNO menjadi parti dinamik yang terus relevan
T K Letchumy Tamboo
Mei 11, 2016 16:55 MYT
Mei 11, 2016 16:55 MYT
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata beliau berharap parti itu akan menjadi parti yang dinamik dan terus relevan sepanjang masa.
Beliau berkata untuk itu UMNO mesti berubah dalam banyak perkara.
“Sebelum ini kita sudah mengubah Perlembagaan (parti). Daripada pimpinan ditentukan oleh 2,600 orang, kita ubah pimpinan utama UMNO, Ahli Majlis Tertinggi ditentukan oleh 160,000 ahli UMNO. Itu satu perubahan.
“Saya berharap transformasi dalam UMNO ini akan terus kita lakukan supaya ia menjadi parti yang terus relevan.
“Saya mengharapkan UMNO terus mendepani transformasi agar ia terus relevan sepanjang zaman kepada semua generasi,” katanya dalam satu sidang media untuk meraikan sambutan Ulang Tahun Ke-70 UMNO anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Ulul Amri untuk memperingati perhimpunan 42 pertubuhan Melayu pada 11 Mei 1946 dalam Kongres Kebangsaan Melayu pertama di Kelab Sultan Sulaiman, di sini.
Ahmad turut berharap agar perjuangan UMNO yang wujud sejak 70 tahun lalu itu, dapat difahami dan dihayati oleh anak-anak muda zaman ini.
Katanya, beliau kesal dengan sesetengah golongan muda yang kurang memahami perjuangan sebenar parti yang berjuang tanpa mengira bangsa dan agama.
Sambutan Hari UMNO Ke-70 yang dijadualkan pada Rabu ditunda kepada Khamis ini bagi memberi penghormatan kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 11 Mei.