Ahmad Husni sedia dicalonkan semula di Tambun

Abd Razak Mohd Ali
Februari 25, 2018 15:13 MYT
AHMAD HUSNI: Bayangkan, saya jadi ketua bahagian 23 tahun, takkan orang nak boikot saya. - Gambar fail/BERNAMA
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah bersedia sekiranya dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Ahli Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata, terpulang kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukannya.
Husni juga percaya akan mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan parti di bahagian Tambun.
"Bayangkan, saya jadi ketua bahagian 23 tahun, takkan orang nak boikot saya. Sekarang pun mereka sayang kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Parlimen Tambun di Dewan Dato' Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Tanjung Rambutan, dekat sini, pada Ahad.
Husni berkata, di dalam menghadapi pilihan raya, isu bekerja untuk individu tertentu tidak harus difikirkan, sebaliknya semua pihak mesti bekerja kuat untuk menentukan BN memperolehi kemenangan lebih besar.
"Bila kita hadapi pilihan raya, kita tak fikir dari segi individu, kita fikir kemenangan. Jadi kita mesti bekerja ke arah itu, tidak lagi bekerja untuk individu tertentu.
"Soal siapa jadi calon, itu tertakluk kepada presiden punya keputusan, dia mempunyai banyak sumber untuk membuat penilaian," ujarnya.
Ahmad Husni berkata, sekarang ini bukan mencari tapak untuk mendapat sokongan kepada individu, tetapi sokongan itu adalah kepada BN.
"Pengundi Tambun lebih 100,000 dan jika mahukan sokongan, calon mesti menjadi pemimpin sejati yang menghambakan diri untuk rakyat, melayani rakyat, buat pembangunan untuk rakyat. Sasaran kita adalah kepada rakyat," kata beliau.
Pada Jun 2016, Ahmad Husni mengambil tindakan mengejutkan apabila meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan II di samping semua jawatan di dalam UMNO dan BN.
#Ahli Parlimen Tambun #Ahmad Husni Hanadzlah #Barisan Nasional #Bekas Menteri Kewangan II #BN #dicalonkan semula #pilihan raya umum #Presiden UMNO #PRU14 #UMNO
;