Ahmad Husni dipelawa sertai Amanah
Astro Awani
Jun 28, 2016 12:51 MYT
Jun 28, 2016 12:51 MYT
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak hari ini mempelawa bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah untuk menyertai Amanah susulan peletakan jawatannya di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Setiausahanya, Safarizal Saleh dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, parti itu membuka ruang seluas-luasnya kepada Ahmad Husni yang turut baharu melepaskan jawatannya dalam Kabinet.
"Pelawaan ini terbuka jika hasrat Datuk Seri Husni untuk terus memperjuangkan keadilan melalui wadah Amanah yang dirasai sesuai berikutan penamatan perkhidmatan beliau yang juga Menteri Kewangan Kedua dalam rombakan Kabinet Malaysia semalam.
"Pemuda Amanah Perak yakin banyak isu disebalik penamatan perkhidmatan sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Haji Abdul Razak semalam yang amat mengejutkan," katanya.
Dalam pada itu, Safarizal memuji tindakan Ahmad Husni dan yakin terdapat isu disebalik peletakan jawatannya itu.
Ahmad Husni difahamkan telah meletak jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Tambun termasuk beberapa jawatan dalam UMNO Perak selepas pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri semalam.
Portfolio beliau kini diambil alih oleh Datuk Johari Abdul Ghani.