Ahmad Hamzah kekal Ahli Parlimen Jasin
Astro Awani
Jun 12, 2019 18:54 MYT
Jun 12, 2019 18:54 MYT
Datuk Seri Ahmad Hamzah dari Barisan Nasional (BN) kekal sebagai Ahli Parlimen Jasin selepas Mahkamah Khas Pilihan Raya mengistiharkan kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah sah.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Abu Bakar Jais menyatakan calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan gagal membuktikan ketidakpatuhan yang didakwa berlaku memberi kesan terhadap keputusan PRU14 yang lalu.
Khairuddin memfailkan petisyen pilihan raya pada Jun tahun lalu menurut Seksyen 34 (C) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Menerusi petisyen tersebut, Khairuddin memohon deklarasi keputusan PRU14 bagi kerusi parlimen Jasin dibatalkan dan beliau memohon agar pilihan raya untuk kerusi parlimen itu perlu dilakukan semula.
Pada PRU14, Ahmad menewaskan Khairuddin engan perbezaan 219 undi dalam pertandingan tiga penjuru.
Ahmad memperolehi 26,560 undi manakala Khairuddin mendapat 26,341 undi sementara calon PAS, Abd Alim Shapie mendapat 8,860 undi.
#Abd Alim Shapie
#Abu Bakar Jais
#Ahmad Hamzah
#Barisan Nasional
#Jasin
#Khairuddin Abu Hassan
#Pakatan Harapan
#PAS