Ahmad Faizal perlu muhasabah diri - PKR Perak

Abd Razak Mohd Ali
Julai 31, 2023 10:00 MYT
Hairul Amir Sabri (kiri) menempelak Ahmad Faizal yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjalankan tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Tambun selepas memenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menempelak Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjalankan tanggungjawab selaku Ahli Parlimen Tambun selepas memenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Timbalan Pengerusi PKR Perak, Hairul Amir Sabri menegaskan, kenyataan tersebut bukan hanya dangkal, malah tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang pemimpin politik yang pernah menjadi wakil rakyat selain menjawat jawatan menteri.
Menurutnya, kenyataan Ahmad Faizal seperti keanak-anakkan kerana seolah-olah kabur dan tidak dapat menerima hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Ke-10 telah melakukan pelbagai transformasi dalam memastikan semua rakyat, merentasi bangsa dan agama, menikmati kehidupan yang lebih sejahtera.
“Tugas Datuk Seri Anwar kini amat mencabar, khususnya untuk meletakkan kembali asas negara dan kepercayaan rakyat dilandasan tepat selepas berlaku pelbagai kecelaruan daripada sudut pentadbiran dan tata kelola dilakukan pemimpin terdahulu.
“Ironinya, Ahmad Faizal juga tidak perlu membangkitkan isu-isu remeh memandangkan tugas membantu rakyat Parlimen Tambun sentiasa dilakukan secara berterusan melalui kerjasama erat antara PKR Perak, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Tambun, jabatan dan pelbagai agensi, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tegas Hairul Amir lagi, kenyataan Ahmad Faizal turut memperlihatkan ketidakmatangan beliau dalam memahami bidang tugas serta tanggungjawab sebenar yang perlu dilaksanakan Perdana Menteri dalam memastikan rakyat menerima manfaat secara adil dan saksama melalui pelbagai dasar yang dilaksanakan.
“Tidak seperti Ahmad Faizal yang kini mempunyai 'banyak masa' terluang dan boleh ke mana-mana sahaja hingga menyandang jawatan penting (Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Sembilan) dalam parti di negeri lain tanpa perlu memikirkan solusi berkesan untuk kesejahteraan negara,” ujarnya.
Katanya, cabaran bekas Menteri Besar Perak itu yang mahu sekali lagi menentang Anwar di Tambun pada PRU16 juga menunjukkan beliau sudah tidak mempunyai isu untuk dibangkitkan.
Ahmad Faizal juga, dakwa Hairul Amir, tidak dapat menerima kenyataan telah ‘dihumban’ oleh rakyat selepas pengkhianatan dilakukan terhadap mandat yang diberikan pada PRU14 khususnya, di Parlimen Tambun.
“PKR Perak menegaskan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kekal komited dalam menjalankan tugas mentadbir negara dengan penuh amanah dan dedikasi tanpa sesekali terpengaruh dengan provokasi politik yang tidak memberikan sebarang nilai tambah dalam memacu negara ke arah lebih mampan serta berdaya saing.
“Kita akui setiap derap langkah yang dilakukan Kerajaan Perpaduan ini akan ada kritikan mendatang namun ia tidak menjadi batu penghalang dalam memastikan kepentingan rakyat dijunjung sebagai wadah perjuangan,” tambah beliau lagi.
Dalam satu majlis anjuran Bersatu pada Ahad, Ahmad Faizal mencabar Anwar supaya jangan lari kerana beliau akan bertanding di Parlimen Tambun pada PRU16
#PKR Perak #Ahmad Faizal Azumu #PM Anwar Ibrahim #Ahli Parlimen Tambun
;