Ahmad Bashah selamat angkat sumpah MB Kedah baharu

Astro Awani
Februari 4, 2016 10:39 MYT
Ahmad Bashah sewaktu upacara mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu di Istana Anak Bukit, Alor Setar hari ini. - Foto Bernama
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, 66, selamat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-12 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata itu melafazkan sumpah menyandang jawatan di hadapan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang dipengerusikan Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.
Turut hadir adalah dua lagi anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Majlis tersebut turut dihadiri ADUN dan Anggota Parlimen Kedah serta pegawai kanan kerajaan negeri.
Pada Rabu, Ahmad Bashah diumumkan sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, berkuat kuasa hari ini.
Ia susulan pengumuman Mukhriz yang meletakkan jawatan kerana menurutnya telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.
BACA: Kronologi krisis Menteri Besar Kedah
#Ahmad Bashah Md Hanipah #Istana Anak Bukit #lafaz sumpah #Menteri Besar Kedah baharu
;