Ahmad Bashah sedia undur diri dari jawatan Pengerusi UMNO/BN Kedah

Bernama
Mei 12, 2018 04:52 MYT
Pada PRU14 baru-baru ini, Ahmad Bashah kehilangan kerusi dipegangnya selama lima penggal di DUN Suka Menanti yang dahulunya dikenali sebagai Bakar Bata. --fotoBERNAMA / Fail
Susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 baru-baru ini, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau sedia untuk undur diri dan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi badan perhubungan UMNO dan pengerusi BN negeri.
Katanya, tindakan itu adalah bagi memberi laluan kepada barisan pelapis baharu untuk meneruskan dan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada perjuangan BN di negeri ini.
"Bagaimanapun saya akan membuat perbincangan dan beberapa mesyuarat khas bersama UMNO dan BN negeri, kerana apa-apa keputusan juga mesti dibuat secara bersama. Mereka juga telah bersama saya berpuluh tahun dalam parti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari UMNO ke-72 dan Jamuan Makan Malam bersama anggota UMNO di sini malam tadi.
Pada PRU14 yang lalu, BN hanya memenangi tiga daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini, dengan Ahmad Bashah turut kehilangan kerusi dipegangnya selama lima penggal di DUN Suka Menanti yang dahulunya dikenali sebagai Bakar Bata.
Bekas menteri besar Kedah itu berkata, pertimbangan untuk meletak jawatan itu juga adalah dilihat amat bersesuaian memandangkan UMNO telah diminta untuk mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian bermula pada 19 Mei ini bagi tujuan pemilihan parti.
"Kalau pun saya tidak meletak jawatan, saya mungkin tidak akan bertanding pada pemilihan di peringkat bahagian ini," katanya.
Mengenai Kedah, beliau berkata pihaknya juga tidak menjangkakan kekalahan teruk di negeri ini apabila hanya memperoleh tiga kerusi DUN memandangkan jentera parti telah bekerja keras dan membuat persiapan sebaik sahaja mendapat mandat pada PRU ke-13 yang lepas.
"Tapi mungkin keputusan diambil rakyat kerana nak merasai kerajaan baru, tapi dari segi tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan kita telah lakukan yang terbaik sebelum ini malah janji manifesto telah ditunaikan," katanya.
Mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi BN dan UMNO, Ahmad Bashah berkata UMNO negeri menerima perkara itu dengan berat hati, bagaimanapun tetap menerima dan menghormati keputusan dibuat bekas perdana menteri itu.
"Walaupun dalam keadaan bersedih kita harap anggota parti terus bertenang dan sama-sama kembali bersatu padu untuk kita teruskan perjuangan dan bantu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya.
Di Kuala Lumpur, Najib berkata Biro Politik UMNO bersetuju supaya Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO manakala Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, juga Naib Presiden UMNO, menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN.
-- BERNAMA
#Ahmad Bashah #Barisan Nasional #BN Kedah
;