Ahmad Bashah mempengerusikan mesyuarat exco pertamanya hari ini
Astro Awani
Februari 24, 2016 12:02 MYT
Februari 24, 2016 12:02 MYT
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini mempengerusikan mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pertamanya di Wisma Darul Aman di sini.
Ahmad Bashah, tiba di pejabatnya pada kira-kira jam 9 pagi tadi dan mendengar taklimat selama 20 minit dari Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din sebelum memulakan mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat yang bermula jam 9.20 pagi tadi itu dihadiri kesemua sembilan exco yang mengangkat sumpah, sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Ahmad Bashah, Isnin lalu.
Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.
Pelantikan semula kesemua exco di bawah pentadbiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini sekaligus menangkis spekulasi beberapa exco akan digugurkan.
Terdapat perubahan kecil dalam senarai portfolio exco-exco berkenaan dengan Ahmad Bashah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi Negeri, Perancangan Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Kewangan dan Syarikat Milik Kerajaan Negeri.
Lima portfolio exco lain yang mengalami sedikit perubahan dan pertambahan portfolio ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail sebagai Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).
ADUN Tanjung Dawai Datuk Tajul Urus Mat Zain pula selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan.
ADUN Kuala Nerang Datuk Badrol Hisham Hashim (Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga); ADUN Ayer Hangat Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (Agama, Kerja Raya, Pelancongan dan Warisan); dan ADUN Gurun Datuk Dr Leong Yong Kong (Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan).
Manakala empat exco kekal dengan portfolio sebelum ini iaitu ADUN Jitra Datuk Aminuddin Omar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan, Pembangunan Insan; ADUN Belantik Datuk Mohd Tajudin Abdullah (Penerangan, Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan).
ADUN Bandar Baharu Datuk Noorsabrina Mohd Noor (Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia) dan ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob (Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta, Pembangunan dan Usahawan).