Ahmad Bashah lepas jawatan Timbalan Menteri, Senator
Bernama
Februari 3, 2016 14:30 MYT
Februari 3, 2016 14:30 MYT
Bakal menteri besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Anggota Dewan Negara berkuat kuasa hari ini.
Katanya surat peletakan jawatan sebagai timbalan menteri diserahkan hari ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala bagi jawatan senator kepada Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.
"Jadi, dah rasmi (saya) letak dua-dua jawatan. Kalau ikutkan, untuk Senator tak habis tempoh lagi, tapi esok dah angkat sumpah (jawatan Menteri Besar), kena lepas dua-dua jawatan itu," katanya pada sidang media di Bangunan Tunku di sini hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din dalam sidang media khas di Wisma Darul Aman di sini hari ini mengumumkan Ahmad Bashah, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu, menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, berkuat kuasa esok.
Terdahulu, Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan menteri besar berkuat kuasa serta merta.
Krisis politik membabitkan kedudukan Mukhriz bermula sejak 20 Jan lepas, apabila ADUN dan anggota Parlimen Kedah serta pemimpin kanan UMNO Negeri yang diketuai Ahmad Bashah, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Mukhriz ketika mengumumkan peletakan jawatan pagi tadi berkata beliau dimaklumkan telah hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri Kedah.
Pada sidang media itu, Ahmad Bashah, 66, berkata ketika beliau mengadakan sidang media meminta Mukhriz digantikan pada 20 Jan lepas, tidak terlintas di fikirannya untuk menjadi menteri besar.
"Kalau nak jawatan dulu lagi boleh buat. Bukan cita-cita saya. Tapi dah berlaku saya terima, tak bantah atau bangkang sesiapa. Matlamat nak lihat UMNO kuat.
"Saya dah terlibat dalam UMNO lama dan menjadi wakil rakyat sejak lima penggal.
Matlamat bukan jadi menteri besar tapi nak bersama kepimpinan," katanya. Ahmad Bashah berkata krisis dua minggu itu berakhir hari ini dengan permintaan oleh pemimpin-pemimpin UMNO negeri tercapai.
"Kami mahukan perubahan dalam kepimpinan...pagi ni dah umum. Peristiwa yang berlaku sejak 20 Jan dah selesai. Itu kehendak kepimpinan UMNO yang hasrat adakan perubahan," katanya.
BACA: Kronologi krisis Menteri Besar Kedah
Ahmad Bashah berkata pertukaran jawatan menteri besar adalah sesuatu yang biasa berlaku di Kedah tetapi sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional masih padu.
"Yang penting kita nak bersama jalankan tugas. Yang penting nak pertahankan kuasa di Kedah," katanya.
Ahmad Bashah berkata beliau yakin, Mukhriz walaupun tanpa jawatan menteri besar, akan terus bersama dalam membantu parti bagi mengekalkan UMNO untuk terus berkuasa di Kedah.