Ahmad Bashah bertanding tiga penjuru di DUN Suka Menanti

Adie Sufian Zulkefli
April 28, 2018 15:26 MYT
Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah memeluk isterinya Datin Seri Hizam Awang Ahmad sebelum menyerahkan borang penamaan calon. - Foto Bernama
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Suka Menanti menyaksikan pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kerusi ini ditandingi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah yang mewakili Barisan Nasional (BN) bakal menentang Mohd Sabri Omar mewakili PAS dan IR Zamri Yusuf Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ahmad Bashah yang dahulunya bertanding di DUN Bakar Bata kini bertukar setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan persempadanan semula sebelum PRU14.
Sementara itu, di Parlimen Alor Setar calon muka baharu BN, Datuk Yoo Wei How yang bakal berdepan saingan tiga penjuru daripada calon PKR, Chang Ming Kai dan Pas, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh.
Manakala DUN Kota Darulaman pula menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila, calon muka baharu BN, Tan Eng Hwa menghadapi calon Pas, Zulkifli Che Haron, calon PKR, Teh Swee Leong dan Tan Kang Yap (PRM).
Pertarungan tiga perjuru berlaku di Alor Mengkudu dengan penyandangnya, Ahmad Yahaya ditentang calon BN, Abdul Malik Saad yang juga calon muka baharu BN dan calon PKR, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.
Proses penamaan calon bagi Parlimen Alor Setar berjalan lancar apabila pusat itu dibuka seawal jam 9 pagi dan ditutup pada jam 10 pagi dengan pengumuman rasmi daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Alor Setar, Datuk Mohd Zohdi Saad pada pukul 11.45 pagi.
#alor mengkudu #Barisan Nasional #DUN #DUN Bakar Bata #DUN Kota Darulaman #Parlimen Alor Setar #PAS #PKR #Suka Menanti
;