'Ahli UMNO jangan jadi gunting dalam lipatan'
Petrus Bernard
Mei 7, 2023 11:00 MYT
Mei 7, 2023 11:00 MYT
TAWAU: Ahli UMNO Sabah diingatkan supaya jangan jadi gunting dalam lipatan yang cenderung mengkhianati parti.
Ia berikutan beberapa pemimpin UMNO yang diambil tindakan tatatertib kerana didapati melanggar perlembagaan parti.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, tindakan demikian akan membunuh perjuangan parti di negeri itu.
"Dalam politik ini kita pun tahu, musuh luar ada, musuh dalam pun ada.
"Kita tidak tahu musuh dalam ini kita tidak tahu sejauh mana ketajaman tikaman dia tetapi biasanya musuh dalaman inilah yang selalu membunuh kita.
"Kita lihat juga parti-parti lain cuba menghancurkan UMNO dan Barisan Nasional, jadi kita harus melakukan sesuatu engagement dan juga hands on secara menyeluruh," katanya.
Ujarnya pemimpin UMNO di peringkat bahagian haruslah sentiasa mendekati dan membantu rakyat untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah depan.
"Saya juga ingin memberi amanat kepada pimpinan UMNO bahagian yang telah dipilih baru-baru ini menerajui kepimpinan bahagian masing-masing agar mengurus parti dengan baik.
"Saya selalu memberi nasihat bahawa untuk menang kita kena buat cara kerja orang mahu menang. Bermakna pendekatan kita, pendekatan orang mahu menang, cara kita bercakap mengikut cara orang mahu menang, pergaulan kita, pokoknya apapun libat urus yang kita laksanakan cara orang mahu menang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Ramah Mesra Ketua UMNO Sabah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri melibatkan kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan di Tawau pada Sabtu.