Ahli UMNO jangan desak parti - Khaled Nordin

Sinar Harian
Julai 27, 2024 17:00 MYT
Mohamed Khaled (hadapan, tiga kiri), bersama sebahagian ahli UMNO Pasir Gudang pada Mesyuarat berkenaan.
PASIR GUDANG: Semua ahli UMNO diingatkan agar tidak lagi mendesak kepimpinan parti dengan pelbagai tuntutan yang sukar untuk dipenuhi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, segala tuntutan dibuat seolah-olah UMNO merupakan parti yang masih menjadi kerajaan ketika ini.
"Perkara-perkara itu hanya membuatkan parti dan kepimpinan tertinggi berada dalam dilema bagi memenuhi tuntutan tersebut.
"Selain itu, jangan lah kita meletakkan parti dan kepimpinan dalam keadaan tersepit....ya, saya akui kadang-kadang parti dalam dilema dengan desakan-desakan seperti ini.
"Kita tidak mempunyai pilihan, kita didesak, dituntut dan diugut macam seolah-olah kita ini dominan di dalam kerajaan hari ini.... jadi janganlah menyerang atau mendesak parti dengan macam-macam tuntutan yang boleh menyebabkan pergeseran antara parti yang sama-sama membentuk kerajaan," katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di UniKL, Seri Alam, di sini, pada Sabtu.
Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas desakan-desakan agar parti berkenaan meninggalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, tiada gunanya untuk terus mendesak parti meninggalkan kerjasama dengan PH yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.
"Bagi saya, tindakan itu hanya akan merumitkan lagi keadaan antara parti-parti terbabit.
"Oleh itu, ahli-ahli UMNO dan akar umbi perlulah menerima hakikat terhadap kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini dan seterusnya mengatur langkah dan meneruskan perjuangan UMNO dengan politik khidmat bakti.
"Lebih baik tumpu untuk memperkuatkan semula parti mudah-mudahan ia akan menyumbang kepada kejayaan UMNO, Barisan Nasional (BN) di Johor," katanya. - Sinar Harian
#UMNO #Khaled Nordin #desakan terhadap parti #perubahan UMNO
;