Ahli UMNO digesa tidak leka dengan masalah dalaman parti pembangkang

Astro Awani
April 30, 2017 20:01 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa ahli Umno supaya lebih fokus dalam memastikan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO terus bersatu dan kukuh serta diterima rakyat. -Gambar fail
Ahli Umno dinasihatkan agar tidak leka dengan masalah dalaman yang melanda parti pembangkang.
Malah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menggesa ahli Umno supaya lebih fokus dalam memastikan Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO terus bersatu dan kukuh serta diterima rakyat.
Tegas Hishammuddin, krisis yang berlaku di antara Pas dan PKR membuktikan mereka tidak sehaluan dan tiada persefahaman.
"Jangan kita terlalu mengharapkan perpecahan dan kelemahan pembangkang, kelemahan mereka tidak bermakna kita kuat.
"Daripada hendak melayani masalah dalaman pembangkang lebih baik kita beri tumpuan bagaimana kita dapat mengukuhkan kekuatan kita sendiri.
"Putusnya tahaluf siyasi ini membuktikan mereka tidak sehaluan, tiada persefahaman dan juga membuktikan kerjasama mereka ibarat perkahwinan yang mempunyai kepentingan.
Kerana politik, mereka boleh buat apa sahaja, tapi bila sudah tidak ikhlas dalam perjuangan, kita akan lihat keretakan, dan inilah yang membezakan mereka dgn BN," kata Hishammuddin pada sidang media Program Ziarah Kasih Sayang Parlimen Sembrong dekat sini.
Jelas Hishammuddin, keterbukaan Pas untuk menjalinkan hubungan tahaluf siyasi bersama parti Islam lain adalah kerjasama yang tiada sebab untuk ditolak.
Katanya, ia demi kepentingan ummah namun tidak semestinya mempunyai gandingan politik.
"Daripada segi asas perjuangan Islam, ada masa dan ketika kita perlu ketepikan perjuangan politik, lebih-lebih lagi dalam dunia yang pandang serong pada Islam dan Islam sendiri.
"Jadi tidak ada sebab kita tidak boleh bekerjasama dengan mereka, tetapi tidak bermakna perlu ada gandingan politik," katanya.
#BN #Hishammuddin Tun Hussein #parti pembangkang #PAS #PKR #tahaluf siyasi #tidak leka #UMNO
;