Ahli UMNO angkat kaki
Sinar Harian
Jun 9, 2018 08:15 MYT
Jun 9, 2018 08:15 MYT
Sekurang-kurangnya 2,000 ahli UMNO pelbagai peringkat dan cawangan yang kecewa dengan kepimpinan parti bakal menyertai Amanah.
Sebahagian daripada mereka termasuklah beberapa pimpinan cawangan seperti Ketua Pemuda UMNO Bandar Bukit Jalil, Aliff Tafid, Ketua Wanita UMNO Bukit Jalil, Norhaida Kamaruddin serta bekas Bendahari UMNO Bahagian Batu, Hisham Ahamad Zahmi.
Aliff berkata, kesemua mereka sepakat meninggalkan UMNO berkuatkuasa 1 Jun lalu dan bakal menyertai Amanah Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat.
“Kami sekurang-kurangnya 2000 orang ini terdiri dikalangan orang politik, ahli ngo dan sebagainya. Kita bermesyuarat beberapa hari lepas dan berbincang mengenai situasi semasa dan akan datang di mana kami bersetuju untuk menyertai parti Amanah dan akan membentuk sebuah bahagian di Wilayah Persekutuan.
“Kami kecewa apabila kerajaan terdahulu iaitu BN telah membuat banyak kesilapan besar di mana pada umumnya ketika mereka memerintah perkara-perkara ini telah dikaburkan, maksudnya kami tak dapat lihat perkara itu.
“Jadi bila Pakatan Harapan memerintah, baru kita dapat lihat semuanya setelah perkara ini didedahkan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, kelmarin.
Menurutnya, Pemuda dan Wanita UMNO termasuk ahli akar umbi telah beberapa kali cuba menyuarakan pandangan kepada pimpinan atasan, namun ia tidak didengari.
Malah lebih mengecewakan, Aliff berkata pemilihan tertinggi UMNO juga dikuasai oleh golongan yang rapat dengan individu-individu tertentu dalam UMNO.
“Sebenarnya dalam Bandar Tun Razak ini sendiri saya telah suarakan banyak perkara kepada pucuk pimpinan sejak awal lagi, namun suara kita tidak didengar khususnya suara anak muda.
“Macam mana hari ini orang muda nak betulkan Umno itu sendiri sedangkan yang bertanding jawatan tertinggi parti anak menteri, anak ketua bahagian. Jadi sampai bila-bila pun suara akar umbi tidak akan didengar oleh pucuk pimpinan,” katanya.