Ahli politik perlu lebih fahami golongan hipster
Bernama
Ogos 22, 2016 08:14 MYT
Ogos 22, 2016 08:14 MYT
Hipster merupakan trend terbaru yang menjadi ikutan semakin banyak anak muda di seluruh dunia, hinggakan subbudaya ini mendapat perhatian khusus daripada para pengubal dasar di kebanyakan negara.
Kecenderungan ini mendorong WikiHow.com, sebuah pangkalan data dalam talian, memuatkan maklumat tentang cara untuk menjadi warga hispter, termasuklah dari segi fesyen, kesihatan, gaya hidup, hiburan indie dan cara bersosial.
Di Malaysia, hipsterisme mula berkembang rancak sejak beberapa tahun lepas dan baru-baru ini, ia mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menjalankan tugas sebagai timbalan presiden UMNO.
Ketika merasmikan persidangan perwakilan sebuah bahagian UMNO baru-baru ini, beliau menyeru para pemimpin parti itu supaya memahami subbudaya tersebut sebagai suatu cara untuk memikat hati pengundi bandar.
Antara pemimpin parti itu yang berjaya menyesuaikan diri dengan kewujudan hipster ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang juga ketua Pemuda UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Beliau mempamerkan contoh terbaik tentang bagaimana hipsterisme boleh diletakkan seiring dengan politik.
Khairy Jamaluddin bukan sahaja bercakap, berpakaian dan bertindak seperti seorang hipster tulen, malah anggota Parlimen Rembau berusia 40 tahun itu juga memiliki bakat semulajadi yang mudah menyesuaikan diri dan bergaul mesra dengan golongan muda daripada semua kaum dan latar belakang kehidupan.
Kesan positif daripada keistimewan beliau itu terbukti apabila beliau mempunyai 1.4 juta pengikut melalui Twitter, 456,000 melalui Instagram dan mendapat lebih kurang 1 juta "Like" bagi laman Facebooknya.
Sejak dilantik menjadi menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin memperkenalkan beberapa program yang dengan begitu ketara berjaya mendekatkan golongan muda dengan kerajaan.
Pengarah Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Norizan Sharif berkata golongan hipster agak bercita-cita tinggi dan bersedia menghadapi cabaran serta bekerja dalam kelompok mereka serta bersikap kurang bergantung pada kerajaan.
"Apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah mendekatkan diri dengan kumpulan ini serta memudahkan dan memenuhi keperluan mereka dalam menjalankan perniagaan.
Bekas pensyarah sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fatimah Abdullah berpendapat ahli politik dan kerajaan perlu merapatkan diri dengan golongan itu melalui pelbagai aktiviti, termasuk kesukarelaan, seni, berkebun, kraftangan dan penulisan kreatif agar bakat mereka boleh terus dipupuk.
"Cubalah menghargai mereka, maka mereka akan berasa diri mereka menjadi sebahagian daripada masyarakat dan kewujudan mereka lebih diiktiraf," katanya.
Seorang pensyarah muda Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang enggan dikenali, berkata pendekatan yang digunakan perlulah bersesuaian dengan aspirasi golongan muda.
"Sebagai contoh, penubuhan AKHI (Akademi Kepimpinan Kapten Hussein) oleh Pemuda UMNO merupakan permulaan yang baik untuk mendekatkan diri dengan anak muda. Cara program ini dilaksanakan - agak kasual dan santai... dan sebab itulah rasa saya anak muda lebih selesa mengenainya.
"Bagaimanapun, pendekatan jenis hipster perlulah bersifat komprehensif kerana keperluan anak muda zaman ini adalah pelbagai sifatnya.
"Sesetengah daripada mereka suka didekati melalui platform profesional seperti Parlimen Belia atau AKHI, manakala sesetengah yang lain pula lebih suka mereka didekati secara tidak formal seperti melalui sesi teh tarik atau yang seumpamanya," kata pensyarah itu.
Beliau berkata komunikasi akan berjaya sekiranya sungutan mereka didengari dan ditangani dengan sewajarnya, termasuk memberi keutamaan paling tinggi terhadap isu seperti perumahan, peningkatan kos sara hidup dan pekerjaan.
"Saya berpendapat inilah antara masalah mendesak yang dihadapi warga bandar," katanya.
Sementara itu, Azraei Muhamad, pengarang buku 'Enam Angka Menjelang Dua Puluh Lima", pula percaya adalah penting bagi kerajaan dan ahli politik untuk lebih memahami generasi hipster.
Pada era setiap orang bebas mendapat akses kepada maklumat sekarang, terdapat keperluan agar lebih banyak hubungan rapat dijalin antara kerajaan dan ahli politik dengan semua rakyat, bukan sekadar dengan hipster, untuk membolehkan mereka merasai dan memahami isu serta masalah yang dialami orang ramai, katanya.