Ahli politik jangan fikir keuntungan peribadi, dendam untuk tubuh kerajaan - Penganalisis

Madiha Abdullah
Ogos 17, 2021 17:23 MYT
Md Shukri berkata, hanya aspek kemanusiaan yang mampu membawa negara ke arah pemulihan pasca pandemik. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ahli politik digesa tidak mementingkan diri sendiri dengan mengutamakan keuntungan serta dendam peribadi, sebaliknya kembali kepada fokus utama mereka iaitu berkhidmat untuk masyarakat.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, hanya aspek kemanusiaan yang mampu membawa negara ke arah pemulihan pasca pandemik.
"Kita sebuah negara yang terurus dan berdisiplin, masalah utama kita ketika ini adalah menguruskan kes COVID-19 yang tinggi.
"Kalau ahli politik kita terus dengan soal apa yang mereka akan dapat, dendam peribadi dan sebagainya, akhirnya rakyat yang merana.
BACA SEMUA BERHUBUNG POLITIK MALAYSIA DI SINI
"Saya tanya dengan jujur kepada wakil rakyat, apakah mereka suka penduduk di kawasan mereka sengsara, berhadapan dengan kemiskinan dan konflik?
"Jadi tolong fikir masyarakat di kawasan anda, jangan fikir apa anda akan dapat dengan penubuhan kerajaan. Fikirkan apa yang rakyat akan dapat.
"Frontliners, doktor dan jururawat... guru-guru dan penjawat awam yang lain, kasihanilah mereka. Apa akan jadi jika keadaan politik berterusan tidak menentu, dan akhirnya (mungkin) Bajet 2022 tidak dapat diluluskan pembentangannya?," katanya kepada Astro AWANI.
Panggilan Video | Pembentukan Kabinet baharu, siapa Perdana Menteri ke-9?
Ahli politik, ujarnya, perlu menghormati Parlimen sebagai sebuah institusi yang mulia dan tidak mencemarkannya dengan polemik yang berterusan.
"Keadaan tidak stabil ini akan menyebabkan Parlimen tergantung dan akhirnya kita tak tahu ke mana hala tuju negara.
"Jangan memalukan rakyat, jangan sampai kita jadi negara kelas ketiga," tegasnya.
Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas 15 ahli UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) menarik sokongan terhadap Kerajaan PN.
Ahmad Zahid membuat pengumuman itu dalam sidang media khas pada 3 Ogos lalu.
#Politik Malaysia #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #letak jawatan #ahli politik #penting diri #laba politik #dendam #utamakan rakyat #bajet 2022
;