Ahli politik diminta tidak sebar berita palsu - Teo

Bernama
Julai 11, 2023 11:55 MYT
Nie Ching berkata, pada kebiasaannya menjelang pilihan raya, banyak berita yang tidak tepat dan tidak benar atau berita palsu akan timbul. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Ahli politik perlu menghindarkan diri daripada menyebarkan berita palsu menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching.
Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP berkata ini kerana pada kebiasaannya menjelang pilihan raya, banyak berita yang tidak tepat dan tidak benar atau berita palsu akan timbul.
"Jadi sebagai ahli politik, kita kena ada prinsip sikit, jangan jadi 'orang' yang menyebarkan berita palsu, ini juga satu peringatan untuk diri saya sendiri.
"Semua rakan-rakan di luar sana sama ada dalam parti yang sama atau tidak, yang penting kita kena ingat sebagai Ahli Parlimen, wakil rakyat atau ahli politik kita semua adalah rakyat Malaysia, jadi janganlah buat apa-apa yang boleh merosakkan negara tercinta," katanya ketika menjadi tetamu pada program Selamat Pagi Malaysia yang disiarkan di saluran TV1 hari ini.
Rabu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Dalam pada itu, Teo berkata rakyat Malaysia juga boleh memainkan peranan untuk sama-sama membantu memerangi penyebaran berita palsu bagi mengekalkan semangat perpaduan di negara ini.
"Saya harap semua rakyat Malaysia bantu kami untuk perangi berita palsu, janganlah kita biarkan berita palsu membawa kepada kerosakan kekal terhadap perpaduan kita. Meskipun berbeza pendapat tetapi (ia) tidak sepatutnya memberi kesan negatif atau menjejaskan hubungan kita sesama rakyat di negara ini," katanya.
Menurut beliau rakyat Malaysia pelbagai latar belakang bangsa dan agama telah hidup bersama selama hampir 66 tahun sememangnya berbangga dan perlu ada semangat patriotik bukan hanya pada Hari Kebangsaan atau Bulan Kebangsaan sahaja.
-- BERNAMA
#PRN #berita palsu #DAP #Teo Nie Ching
;