Ahli Pas bertanding atas tiket PH? Hadi enggan ulas
Muhafandi Muhamad
Mac 24, 2018 08:19 MYT
Mac 24, 2018 08:19 MYT
Isu pancing memancing calon semakin panas menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Terbaharu khabar angin bertiup kencang berhubung dakwaan ahli Pas yang bakal bertanding atas tiket Pakatan Harapan pada PRU ke-14 di Terengganu.
Namun desas-desus tentang dakwaan berkenaan masih belum terjawab ekoran Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengulas ketika ditanya pemberita semalam.
Beliau sebaliknya meminta soalan itu diajukan kepada Pengerusi Parti Amanah Negara, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
"Tanya orang Kuala Terengganu," jawabnya ringkas ketika ditanya pemberita selepas ceramah Perdana HARAP di sini pada Jumaat malam.
Sebelum ini Ketua Pemuda Umno Terengganu, Johari Abu Bakar mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sedang berusaha menarik ahli parti berkenaan dengan menawarkan tempat sebagai calon pada PRU ke-14.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Pas hanya akan menamakan calon bagi PRU ke-14 selepas parlimen dibubarkan.
Ketika ditemui pemberita pada majlis sama, naib presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
memaklumkan senarai calon masih belum dimuktamadkan setakat ini.
Menurutnya lagi pihaknya juga sedang menilai strategi Barisan Nasional (BN).
"Biasanya seperti amalan sebelum ini, kita hanya umum selepas bubar dewan."
"Kami pun tidak tahu apa strategi BN. Setakat ini, tiada sebarang perbincangan tentang tarikh untuk pengisytiharan calon," katanya.
#Amanah
#Barisan Nasional
#Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
#Datuk Seri Abdul Hadi Awang
#hadi
#Malaysia Memilih
#MalaysiaMemilih
#PAS
#Pilihan Raya Umum PRU ke-14
#PRU14
#terengganu