'Ahli parti bebas datang dan pergi' - Komen Masidi tentang tindakan Mohamaddin
Astro Awani
Jun 28, 2022 14:11 MYT
Jun 28, 2022 14:11 MYT
KUALA LUMPUR: "Ahli bebas datang dan pergi (masuk dan keluar),".
Itu jawapan ringkas Timbalan Ketua Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu juga enggan mengulas lanjut mengenai tindakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi yang bertindak keluar parti itu sekali gus menjadi ahli Parlimen bebas.
"Tiada apa yang mahu diulas panjang (mengenai tindakan itu). Parti politik adalah sebuah pertubuhan sukarela," katanya.
Mohamaddin yang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama memaklumkan perkara itu dalam sidang media di Kota Kinabalu pada Selasa.
Beliau yang juga bekas pemimpin Warisan itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat kerana beliau tidak diberikan peranan seperti yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti berkenaan sebelum ini.
Katanya, beliau telah dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, namun selepas lebih enam bulan, tiada sebarang peranan yang diberikan.
Terdahulu, Mohammadin pada Oktober tahun lalu mengumumkan keluar Parti Warisan sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada bulan November tahun sama.