Ahli parlimen Sabah blok kerajaan pusat bertemu Muhyiddin hari ini
Assim Hassan
Mac 9, 2020 10:27 MYT
Mac 9, 2020 10:27 MYT
Barisan Ahli Parlimen Sabah dari blok kerajaan pusat berada di Kuala Lumpur hari ini untuk bertemu dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).
Pertemuan dengan Perdana Menteri di Sri Perdana itu disahkan Ahli Parlimen Pensiangan, Arthur Joseph Kurup.
"Saya tidak berada di Kota Kinabalu, saya kini di Kuala Lumpur. Semua ahli parlimen Sabah dari blok kerajaan pusat akan bertemu dengan Perdana Menteri hari ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Terdahulu hari ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan dalam satu kenyataan, Muhyiddin akan bertemu Yang di-Pertuan Agong pada jam 11 pagi sebelum dijangka mengumumkan barisan ahli Jemaah Menteri petang ini.
Difahamkan, Ahli Parlimen Beaufort yang juga Ketua Srikandi Bersatu Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun kini berada di Kuala Lumpur.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) mendapati Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memasuki ruang pelepasan lapangan itu, dipercayai untuk ke Kuala Lumpur.
#Ahli Parlimen Sabah
#Arthur Joseph Kurup
#azizah mohd dun
#Joseph Kurup
#Kota Kinabalu
#Kuala Lumpur
#Maximus Ongkili
#PPBM
#Sri Perdana
#Tan Sri Muhyiddin Yassin