Ahli Parlimen PN tolak draf MoU kerana punya niat tersirat - Muhyiddin

Hasimi Muhamad
September 17, 2024 16:38 MYT
Muhyiddin mendakwa, MoU berkenaan mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli-ahli Parlimen dalam menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat, - Foto FB Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengambil ketetapan untuk menolak draf Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kerajaan Persekutuan dan gabungan itu setelah meneliti keseluruhan kandungan draf secara terperinci.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, MoU berkenaan mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan Ahli-ahli Parlimen dalam menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat.
Katanya, MoU itu antaranya mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja, di mana Ahli-ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya kerana menyentuh isu itu dianggap sebagai menyebarkan kebencian.
"Ini tidak betul. Negara ini dibina di atas persefahaman antara kaum atau kontrak sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan Raja-Raja Melayu.
"Tidak pernah dalam sejarah negara Malaysia sejak merdeka, pihak kerajaan menetapkan perkara-perkara yang boleh dituturkan dan tidak boleh dituturkan oleh Ahli-ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung di dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata MoU tersebut juga membawa masuk elemen-elemen yang bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama.
Misalnya, ujar beliau MoU tersebut menghalang Ahli-ahli Parlimen PN membuat kenyataan “yang mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum atau apa-apa faktor identiti yang lain”.
"Identiti yang lain ini termasuk kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Adakah ini bermakna sekiranya Ahli-ahli Parlimen PN bersetuju dengan draf MoU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?," dakwa Muhyiddin lagi.
Bekas Perdana Menteri itu turut berpandangan MoU tersebut adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia.
Justeru, katanya ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN, malah oleh seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama.
Muhyiddin juga menegaskan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang sepatutnya tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MoU.
"Ini adalah janji PH dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti PH," katanya.
Selain itu, Muhyiddin mempersoalkan apakah hak kerajaan PH-BN untuk menghalang Ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada memperjuangkan perkara-perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat.
"Adakah kerajaan PH-BN ingin memadam sejarah pembentukan negara Malaysia yang merdeka, meruntuhkan teras pembinaan negara bangsa yang aman dan harmoni, menafikan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak yang sah untuk kaum-kaum lain dan menulis semula perlembagaan negara secara halus menerusi MoU ini?," soal beliau.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen berhubung peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen pembangkang.
Jelas beliau, tindakan itu diambil bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.
#Deraf MoU peruntukan #Perikatan Nasional #PN tolak deraf MoU
;