Ahli Parlimen Pakatan Harapan perlu kembali bersatu - Mohamad Sabu

Astro Awani
Ogos 16, 2021 16:34 MYT
Mohamad Sabu seru semua Ahli Parlimen yang memenangi PRU lalu atas tiket Pakatan Harapan agar kembali bersatu di bawah parti itu agar mandat yang diberikan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyeru kepada semua Ahli Parlimen yang memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) lalu atas tiket Pakatan Harapan (PH) agar kembali bersatu di bawah parti itu agar mandat yang diberikan rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
Menurut beliau, sekarang merupakan masa untuk mencipta sejarah dan membina semula negara.
"Di dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih.
"Apabila mandat rakyat dalam pilihan raya lalu dikembalikan dan institusi Parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan akibat COVID 19 ini dan kembali membina semula ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kata Mohamad Sabu, keutamaan kepada ketika ini adalah untuk bekerjasama memulihkan kembali kesihatan dan ekonomi negara yang sangat parah.
"Demokrasi perlu kembali dipulihkan agar pandangan semua pihak diambil kira sama ada di kalangan Ahli-ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang serta pihak-pihak yang lain.
"Proses semak dan imbang melalui institusi Parlimen mesti dihidupkan agar kerajaan baharu yang didirikan sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya," ujarnya.
Landskap politik negara kembali bergolak apabila Tan Sri Muhyiddin hilang majoriti selepas 15 Ahli Parlimen dari UMNO menarik sokongan kepadanya.
Sehubungan itu, hari ini, Ahli Parlimen Pagoh itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri.
BACA: Muhyiddin mohon maaf kepada rakyat Malaysia
BACA: Agong perkenan peletakan jawatan, lantik Muhyiddin sebagai 'caretaker' PM - Istana Negara
\
Muhyiddin Yassin yakin segala yang berlaku ketentuan Maha Esa
Yang di-Pertuan Agong memperkenan peletakan jawatan Perdana Menteri itu dan dalam masa sama berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.
Ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.
\
[TERKINI] Muhyiddin jalankan tugas 'caretaker' PM - Istana Negara
#Amanah #Parti Amanah Negara #pembangkang #pilihan raya #Malaysia #Mohamad Sabu #Pakatan Harapan #Parlimen
;