Ahli Parlimen dijangka berebut kerusi pada pembukaan sidang Dewan Rakyat - Pandikar

Wan Syamsul Amly
Oktober 16, 2015 18:43 MYT
PANDIKAR: Ahli Parlimen dijangka berebut kerusi pada pemulaan sidang Dewan Rakyat.
Isu perebutan tempat duduk dijangka menghangatkan pembukaan sidang Dewan Rakyat yang bermula Isnin depan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, ia berikutan pertukaran parti beberapa Ahli Parlimen Pas ke Parti Amanah Negara (Amanah).
"Walaupun nampak remeh, namun ia tetap menjadi tumpuan awal pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas kali ini.
"Sekarang ini, mereka akan bergaduh soal kerusi. Jadi perlu juga saya cerita tentang tempat duduk. Pertengkaran akan berkisar mengenai parti baharu selepas bercerai dari parti lama.
"Satu lagi adalah soal di mana pemberita akan diletakkan, itu juga akan menjadi panas. Saya sebenarnya mahu muntah dengan politik sebegini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Isu lompat parti daripada PAS ke Amanah hangat kebelakangan ini dengan pertukaran beberapa tokoh tertinggi mereka.
Ia termasuk Presiden Amanah sendiri, Mohamad Sabu yang sebelum ini merupakan Timbalan Presiden Pas serta Ahli Jawatankuasa Amanah, Dr Hatta Ramli yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.
Dalam pada itu, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal juga akan ditempatkan sebaris pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) lain selepas rombakan Kabinet baru-baru ini.
Sementara itu, isu penyusunan semula ruang bekerja untuk petugas media dan sudut sidang media di bangunan Parlimen akan dibincangkan pada sesi awal Dewan Rakyat Isnin ini.
Bagaimanapun, menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Parlimen, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, anggota media yang membuat liputan sidang Dewan Rakyat akan dibenarkan beroperasi seperti biasa dari lobi Parlimen.
Bagaimanapun Azalina menjelaskan, cadangan menempatkan media di bangunan sementara adalah disebabkan oleh kekangan ruang kerana Parlimen sedang diubahsuai dan cadangan itu ketika itu masih di peringkat perbincangan awal.
Dalam pada itu, Ketua Whip Parlimen Amanah Khalid Samad berharap Ahli Parlimen BN dapat memberi kerjasama terutama isu melibatkan 1MDB.
"Saya harap semuanya berjalan lancar, semua Ahli Parlimen berakhlak dan bertamadun. Walaupun semua tahu isu 1MDB, tindakan undang-undang SOSMA panas akhir-akhir ini.
"SOSMA pasti mengundang teguran Isnin nanti. Namun saya harap semua perbahasan berjalan lancar dan kalau boleh saya harap sokongan Ahli Parlimen BN untuk bersuara dan bertindak sewajarnya untuk kepentingan negara," ujarnya.
#Amanah #Dewan Rakyat #Pandikar #Parlimen #PAS
;