Ahli Parlimen Bersatu kekal sokong Muhyiddin

Astro Awani
Julai 29, 2021 23:56 MYT
Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen dari PN, BN, GPS, PBS dan empat Ahli Parlimen bebas yang menzahirkan sokongan menyokong Perdana Menteri. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdiri teguh dan menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan empat Ahli Parlimen bebas yang menzahirkan sokongan menyokong Perdana Menteri.
Pada masa sama, Bersatu menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan semua Ahli Parlimen memberikan keutamaan kepada usaha menjaga kesejahteraan rakyat dan agenda memerangi COVID-19 pada Mesyuarat Khas Parlimen.
BACA: 'Pas akan terus berdiri teguh bersama PM' - Tuan Ibrahim
BACA: Kerajaan PN masih dapat sokongan melebihi 110 ahli Parlimen - Ismail Sabri
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan.
Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.
BACA: Agong zahir dukacita, pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Istana Negara turut mengesahkan pembatalan semua Ordinan Darurat oleh kerajaan belum mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.
#ahli Parlimen #Bersatu #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #sokongan #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin #Ahmad Faizal Azumu #Mesyuarat Khas Parlimen
;