Ahli MT UMNO bakal jadi calon BN di Shah Alam?

Wan Syamsul Amly
Februari 26, 2018 08:58 MYT
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan, usaha BN untuk menawan kembali Selangor perlu bermula di Shah Alam, berikutan kedudukannya sebagai ibu negeri. - Foto selangor.gov.my
Seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO disebut-sebut bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Shah Alam pada pilihan raya umum (PRU) kali ini.
Menurut sumber, pemilihan nama calon itu juga sudah mendapat perhatian dan makluman pimpinan tertinggi parti.
"Saya diberitahu nama calon itu sudah diserahkan kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak. Pemilihan individu ini berdasarkan pengaruh dan kepercayaan pengundi di Shah Alam sendiri kepadanya.
"Jiwa Melayu individu ini sangat kuat. Ketokohannya, termasuk dalam pembangunan generasi muda, tidak boleh dipertikaikan lagi," katanya semasa menghubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
BACA: #MalaysiaMemilih: Azmin Ali dijangka bertanding di Shah Alam
BACA: Red Giants beraksi di Stadium Shah Alam jika BN menang - Najib
Semakan mendapati, antara pemimpin yang menganggotai MT UMNO dan mewakili Selangor adalah Datuk Sohaimi Shahadan, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim, Datuk Zahida Zarik Khan dan Tan Sri Noh Omar.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mewakili Parlimen Gombak disebut-sebut akan berhijrah ke Shah Alam.
Dalam pada itu, bekas senator, Datuk Ezam Mohd Noor, juga sudah mengesahkan bertanding di Parlimen Shah Alam sebagai calon bebas.
Kata Ezam, dia akur dengan keputusan NGO yang diketuainya, Hisbah Malaysia, mempertaruhkannya melawan calon BN, Pakatan Harapan dan Pas di kerusi majoriti Melayu itu.
Ketua Pemuda UMNO Shah Alam Datuk Muadzam Shah Yaakob pernah dilaporkan mahu pucuk pimpinan tertinggi BN mengelak daripada meletakkan calon luar untuk perebutan kerusi Parlimen Shah Alam menjelang PRU ke-14 akan datang.
Tegas Muadzam, analisa PRU sebelum ini jelas menunjukkan pengundi Shah Alam mahukan calon yang merupakan anak Shah Alam yang dilihat lebih faham dengan isu dan apa yang dimahukan oleh pengundi.
Penyandang semasa kerusi itu adalah Khalid Samad dari Parti Amanah Negara.
Najib sebelum ini juga menegaskan, usaha untuk menawan kembali Selangor perlu bermula di Shah Alam, berikutan kedudukannya sebagai ibu negeri.
Pada PRU13, Khalid memenangi kerusi itu atas tiket PAS, menewaskan calon BN Datuk Zulkifli Noordin dengan majoriti selesa 10,939 undi.
#Azmin Ali #Khalid Samad #Najib Razak #PAS #PRU #shah alam #UMNO
;