'Ahli, biro IT UMNO jangan lagi jadi babau' - TPM Ahmad Zahid
Ruzaini Zulkepli
Disember 16, 2017 18:36 MYT
Disember 16, 2017 18:36 MYT
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa jentera teknologi maklumat (IT) UMNO negeri ini tidak mengamalkan sikap membisu atau 'babau' dalam berdepan cabaran fitnah yang dilemparkan menerusi medium laman sosial.
Sebaliknya tegas Timbalan Perdana Menteri, jentera dan biro IT UMNO perlu bertindak agresif untuk mengekang setiap maklumat palsu yang ditujukan kepada kerajaan serta parti dari semasa ke semasa.
Jelas Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden mahu supaya semua ahli parti menggunakan ruang sedia ada untuk menaikkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN) selain berperanan sebagai menapis persepsi negatif dalam kalangan pengguna media sosial menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Mengikut statistik, rakyat Malaysia akan menghabiskan masa sekurang-kurangnya 3.5 jam sehari untuk melayari media sosial terutama Facebook bagi mengikuti perkembangan semasa di negara ini termasuk isu politik, ekonomi serta hal-hal berkaitan pentadbiran kerajaan.
"Ketua Menteri Sabah kata orang Malaysia 'babau' sebenarnya tidak babau. Cuma kita 'babau' pada pilihan raya umum lalu sahaja. Oleh itu, kali ini untuk PRU14, ahli dan biro IT jangan 'babau'," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Media Sosial Umno Sabah di Dewan Utama, Bangunan Umno Sabah, di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
Hadir sama adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah yang juga Ketua Menteri; Tan Sri Musa Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Yahya Hussin.
Dalam pada itu, Zahid turut menginggatkan semua ahli UMNO Sabah supaya berhati-hati dengan serangan saat akhir pihak tertentu yang menunggu kealpaan jentera parti dalam usaha memenangi hati rakyat.
"Sebanyak 92 peratus pengundi muda menggunakan media sosial dan kalau kita menang besar dalam PRU14 nanti, sumbangan besar itu datang dari biro IT," katanya.
#babau
#Biro IT
#BN
#fitnah
#kerajaan
#laman sosial
#membisu
#Naib Presiden UMNO
#Timbalan Perdana Menteri
#UMNO
#Zahid Hamidi