Agong kecewa dengan politik semasa, perkenan bubar Parlimen untuk kerajaan lebih stabil - Ahmad Fadil
Firdaus Azil
Oktober 10, 2022 16:58 MYT
Oktober 10, 2022 16:58 MYT
KUALA LUMPUR: Biar pun kecewa, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tiada pilihan lain selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen.
Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, dalam sesi menghadap yang tidak berjadual bermula jam 12 tengah hari semalam, Perdana Menteri telah mengemukakan permintaan untuk urusan tersebut.
Setelah memperhalusi permintaan tersebut, beliau berkata, Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, telah memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen ke-14 berkuat kuasa hari ini.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan YAB Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
“Justeru, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022,” katanya lagi.
Awal hari ini, Ismail Sabri Perdana Menteri, mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri pada Perutusan Khas yang disiarkan dari bangunan Perdana Putra, Putrajaya pukul 3 petang Isnin.
Dalam perutusannya, Ismail berkata beliau sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong, pada tengah hari Ahad bagi mendapatkan perkenan pembubaran Parlimen.
Dalam pada itu Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat, secara keseluruhannya.
“Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah, khususnya bencana banjir,” katanya lagi.