Agihan kerusi PN P. Pinang akan dibincang sebelum Tahun Baharu Cina
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 5, 2023 16:23 MYT
Januari 5, 2023 16:23 MYT
GEORGE TOWN: Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusinya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, mesyuarat akan diadakan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina membabitkan rakan komponen iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
Katanya, setakat ini persiapan telahpun dilakukan PN Pulau Pinang untuk menghadapi PRN di samping akan mengadakan perbincangan bersama rakan komponen berhubung pembahagian 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan nanti.
"Jumlah pembahagian kerusi untuk setiap parti bukanlah menjadi keutamaan, sebaliknya, apa yang penting bagi PN adalah memilih serta meletakkan calon yang mampu memberi kemenangan buat parti, itu adalah faktor keutamaan kami," katanya dalam sidang media di Pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini, pada Khamis.
Sementara itu, mengulas sasaran kerusi yang boleh dimenangi pula, Dominic berkata, itu bergantung kepada rakyat yang berhak untuk membuat keputusan bagi memilih wakil rakyat mereka.
"Ini semua adalah hak rakyat, terpulang kepada rakyat, jika rakyat nak beri kemenangan kepada kita, pasti kita akan menanglah dan begitulah sebaliknya.
"Sasaran berapa kerusi boleh menang bukan perkara yang akan dipertimbangkan, tetapi kita akan memberi fokus semua 40 kerusi yang akan dipertandingkan nanti," kata beliau lagi.
Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, parti juga merangka beberapa strategi sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN kelak.
“Persediaan di peringkat ini amat penting termasuk merangka beberapa strategi untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN nanti,” jelas Dominic lagi.