Agensi Pembangunan Strategik dicadang ganti Teraju - Mukhriz

Wan Syamsul Amly
Disember 30, 2018 09:43 MYT
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyampaikan ucapan penangguhan semasa Perhimpunan Agung Tahunan Parti Bersatu Kali Kedua 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dicadang digantikan dengan Agensi Pembangunan Strategik untuk memperkasa kepentingan Melayu di negara ini.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ia akan melakar strategi melaksana agenda Bumiputera lebih baik daripada kerajaan terdahulu.
"Badan baharu boleh ambil alih Teraju, Agensi Pembangunan Strategik, untuk memastikan setiap dasar kerajaan memberi manfaat juga kepada kepada Melayu khususnya di luar bandar.
"Kalau amalan dahulu, setiap kementerian ada agenda Bumiputera, namun sejak 15 tahun lepas, ia tidak lagi diamalkan.
"Kepentingan Melayu sudah dilupakan, akhirnya kepentingan Melayu yang dirosakkan," katanya semasa penggulungan Timbalan Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu kata Mukhriz, Bersatu akan menjadi parti muda yang mempunyai kelebihan sekali gus menarik minat golongan itu untuk menyertainya.
"Saya mencadangkan, kita pastikan untuk mendidik anak-anak muda menjadi pemimpin hebat di semua peringkat, cawangan dan bahagian. Pintu parti dibuka seluas-seluasnya kepada mereka.
"Saya berharap biarlah ada pandangan pihak muda, orang-orang lama. Kedua-dua mereka ini diperlukan,
"Mana yang muda biasa salah langkah dan semangat kuat, yang lama pula berpengalaman, tahu jalan mana betul atau tidak betul, supaya tidak berulang kesilapan," ujarnya.
#Agensi Pembangunan Strategik #Bumiputera #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PPBM #Teraju #Unit Peneraju Agenda Bumiputera