Agenda reformasi: BERSIH tak teragak gerakkan rakyat turun ke jalanan

Hasimi Muhamad
Februari 7, 2024 18:33 MYT
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan menambah, gerakan rakyat tersebut juga mendesak kerajaan melaksanakan agenda #Reformasi100peratus tanpa kompromi - Foto/Laman X Faisal Aziz
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) tidak teragak-agak untuk menggerakkan rakyat turun semula ke jalanan susulan kekecewaan terhadap pelaksanaan agenda reformasi di negara ini.
BERSIH menegaskan, langkah tersebut sebagai bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang sedang enak diulit kekuasaan tanpa menghiraukan harapan rakyat, menerusi pelbagai dalih untuk tidak bersama mendukung agenda reformasi.
Jawatankuasa Pemandu BERSIH dalam satu kenyataan menambah, gerakan rakyat tersebut juga mendesak kerajaan melaksanakan agenda #Reformasi100peratus tanpa kompromi.
"BERSIH bersama rakan-rakan daripada pertubuhan masyarakat sivil (CSO), gerakan anak muda serta mahasiswa dan rakyat hari ini ingin meluahkan kekecewaan dan kemarahan berhubung perkembangan mutakhir pelaksanaan agenda reformasi di negara ini.
"‘Anugerah’ DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) dalam kes rasuah membabitkan para elit politik sehinggalah kepada kemuncak pengurangan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah menyemarakkan api kemarahan rakyat.
"Ditambah pula dengan kegagalan pihak kerajaan untuk bersikap telus mengenai saranan yang diajukan kepada Lembaga Pengampunan, hal ini menunjukkan bahawa hak rakyat untuk mengetahui perkara sebenar tidak dihormati," kata BERSIH dalam kenyataan hari ini.
Menurut BERSIH lagi, janji dan komitmen reformasi termasuk untuk membanteras rasuah dan pelakunya seolah-olah sekadar menjadi halwa telinga semata-mata.
Situasi tersebut, jelas gabungan itu mengisyaratkan bahawa rakyat tidak lagi boleh berdiam diri dengan membiarkan agenda reformasi institusi dan reformasi politik negara tersasar.
"Susulan perkembangan terkini dalam kes Najib, kekhuatiran paling utama adalah sekiranya mandat rakyat yang berbaki empat tahun untuk kerajaan sedia ada akan berlalu secara sia-sia, tanpa sebarang pelaksanaan perubahan struktural yang positif membabitkan aspek pilihan raya, agenda melawan rasuah, serta agenda reformasi institusi yang lain," kata BERSIH lagi.
Dalam masa sama, BERSIH menegaskan, Malaysia kini sedang meniti tempoh genting proses transisi pendemokrasian yang mewajibkan semua pihak untuk senada merealisasikan agenda Reformasi 100 peratus.
Justeru, BERSIH bersama rakan-rakan CSO, gerakan anak muda dan mahasiswa akan menggerakkan semula rakyat serta akar umbi untuk memberikan penerangan tentang perkembangan agenda reformasi menerusi beberapa tindakan dan aksi dalam masa ke hadapan.
#Bersih #Reformasi agenda #BERSIH turun ke jalanan
;